Tuesday, October 30, 2007

Skim Cepat Kaya


Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua terutama buah hati saya yang jauh dimata.Sekarang ini saya telah menjadi seorang warga yang telah pokai.Duit saya telah berkurangan dengan kadar yang banyak kerana disedekahkan kepada kanak-kanak.Saya menjadi begitu pemurah ketika tibanya Syawal Bukan itu sahaja saya juga perlu menunaikan tanggungjawab untuk menukar langsir baru, membayar cukai jalan, menggantikan cermin kereta yang pecah dan akhirnya tayar kereta saya juga telah sampai ajal menjelang hari raya.Saya menjadi sangat sedih bukan kerana ajal tayar kereta telah sampai tetapi kerana duit saya yang menemui ajalnya.Akibatnya duit yang saya kumpul untuk berjumpa dengan buah hati saya telah terjejas.Mungkin selepas ini saya perlu mengikat perut menggunakan tali tangsi.

Ketika Syawal tiba, saya telah didatangi oleh seorang kawan.Kedatangannya bukanlah dijemput walaupun sekarang ini saya sedang merayakan zaman kemudaan saya di hari raya yang mulia.Kedatangan kawan saya ini juga bukanlah untuk sama-sama makan lemang dengan rendang.Tetapi untuk mengajak saya sama-sama menyertai Skim Cepat Kaya.

Saya menjadi begitu teruja.Melalui cerita kawan saya ini, Skim Ini akan menjamin masa depan yang cemerlang gemilang dan terbilang.Bayangkan jika saya melabur RM20,000 saya akan mendapat 10% daripada wang pelaburan setiap bulan selama 5 tahun.Wang saya akan berganda-ganda dan saya akan menjadi warga yang kaya raya.Selepas 5 tahun wang yang akan saya perolehi sebanyak RM120,000.Ya kaya raya, kaya di hari raya tidak seperti sekarang saya pokai di hari raya.Ini pastinya akan memudahkan tugas saya untuk menyunting bunga di taman.

Kawan saya ini telah menceritakan bagaimana mertuanya telah menjadi kaya raya dengan sekelip mata apabila menyertai skim ini dan mendapat sebuah kereta yang sangat mahal harganya lebih mahal dari kereta yang saya miliki.

Sebelum ini saya telah banyak berfikir untuk hidup senang.Tetapi saya tidak menjumpai jalan mudah.Tiada jalan mudah untuk hidup senang.Di dalam sistem ekonomi kapitalis warga yang kaya akan bertambah kaya, warga yang miskin akan hidup papa kedana.Saya telah memikirkan mengenai telahan saya ini dan ianya ternyata tepat sekali.

Mari kita lihat di dalam sistem perbankan.Jika anda ingin membuat pinjaman kewangan anda perlulah mempunyai slip gaji yang telah ditetapkan amaunnya atau anda perlulah membuat cagaran harta benda yang anda miliki.Tetapi jika anda hanya memiliki seekor itik serati dengan serta merta permohonan anda untuk membuat pinjaman wang akan ditolak hidup-hidup.

Fikirkan seorang warga yang papa kedana ingin memulakan perniagaan, adakah warga ini mempunyai slip gaji yang cukup amaunnya? Adakah warga ini mempunyai hartanah yang cukup untuk digadaikan? Jawapannya tidak.Tiada ruang warga yang miskin untuk meminjamkan wang dari sistem perbankan.Inilah yang bermaksud yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana.Inilah telahan saya mengenai sistem ekonomi kapitalis.

Saya masih beruntung kerana tidak berstatus papa kedana tetapi hanya bertaraf pokai sahaja.Tahap pokai ini sebenarnya adalah lebih mulia martabatnya berbanding papa kedana.Jika anda tidak percaya, anda boleh mencuba dari sekarang untuk menjadi papa kedana.

Ayah saya pernah menceritakan dimana dia telah mendapat satu surat yang menyatakan dia telah memenangi sebuah kereta dan boleh mengambil kereta tersebut dengan kadar yang segera di suatu tempat.Melalui penceritaannya, dia teragak-agak untuk mempercayai surat itu.Tetapi setelah memikirkan hadiah yang ditawarkan itu sangat lumayan iaitu sebuah kereta yang harganya lebih mahal dari kereta saya, dia telah membuat keputusan untuk membuat tuntutan.Ayah saya telah terkejut kerana mendapati segala telahannya jauh tersasar.Pejabat pihak yang ingin memberi hadiah yang lumayan itu hanyalah terdiri dari himpunan meja-meja plastik yang diatasnya tersusun rapi cawan-cawan di bawah pohon beringin di tepi jalan

Apabila sampai sahaja pihak tersebut telah mengucapkan tahniah kepada ayah saya bagaikan ayah sayalah orang pertama yang akan memandu kereta mewah itu ke pusat angkasa lepas.Sebelum pihak terbabit memberikan hadiah tersebut, mereka telah menetapkan syarat dimana ayah saya perlu memasukkan deposit sebanyak 10% dari harga kereta tersebut.Jika tidak ayah saya hanya memenangi sebuah cawan yang berjenama Colgate.

Rakan saya juga pernah menerima khidmat pesanan ringkas.Pesanan itu mengucapkan tahniah dan mengatakan bahawa dia telah memenangi beribu ringgit dan perlulah memasukkan deposit dahulu ke dalam akaun yang telah ditetapkan oleh pihak tersebut.

Apa kaitan diantara skim cepat kaya dengan hadiah kereta yang pernah ditawarkan kepada ayah saya.Perkaitannya adalah sama, kedua-duanya menjanjikan hadiah yang lumayan dengan kadar yang segera dan kedua-duanya memerlukan kita melabur sejumlah wang untuk mendapatkan pulangan yang belum tentu kepastiannya.

Lihat betapa liciknya gerakan skim cepat kaya ini memperdayakan warga kita.Kini saya didatangi oleh seorang kawan.Saya bukan tidak mempercayai kawan saya ini tetapi saya tidak mempercayai skim cepat kaya yang ada di dalam dunia ini.Cuba bayangkan hanya untuk membuang air sahaja saya telah dijerut di bahagian leher dengan bayaran meningkat dari 20sen kepada 30sen.Mana mungkin mencari pihak yang ingin memberi kekayaan kepada saya dalam kadar yang segera.Mana mungkin saya dapat mencari insan kamil yang ikhlas untuk memperkayakan diri saya.Di kesempatan ini saya menyeru semua warga yang bertanggungjawab untuk sama-sama tidak mempercayai kepercayaan khurafat yang dibawa oleh kutu-kutu berahak ini.

Monday, October 22, 2007

Cerita Tentang Orang Dari Seberang


Saya tidak ingin menjadi penyanyi.Saya mengulangi sekali lagi bahawa saya tidak ingin menjadi penyanyi untuk membanteras rasuah.Walaupun ditawarkan oleh Man Kidal atau Fauzi Marzuki.Mengapakah saya cuba mengelak daripada menjadi penyanyi? Cukuplah saya hanya menjadi penyanyi karaoke jamban sahaja.Ia sudah mencukupi.Walaupun saya tahu menjadi penyanyi karaoke jamban juga tidak akan membantu membanteras rasuah.Saya tidak akan menjadi penyanyi bukan kerana suara saya tidak semerdu Jamal Abdillah tetapi kerana banyak bencana telah berlaku ke atas penyanyi.Ianya mungkin akan menyebabkan bonda saya cepat mendapat penyakit jantung.

Saya tidak membaca majalah URtv atau URradio tetapi hanya membaca surat khabar sahaja.Kebelakangan ini saya telah membaca kisah dari para penyanyi kita.Mereka telah pun mengeluarkan suara menyuarakan rasa ketidakpuasahan hati terhadap industri nyanyian.Sama seperti saya menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap rasuah yang merebak di dalam negara.

Penyanyi di Malaysia kini menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap dua perkara yang berkaitan dengan sebuah negara.Pertama mereka tidak berpuashati dengan tindakan radio-radio di Malaysia yang selalu memutarkan lagu-lagu penyanyi Indonesia, saya ulang Indonesia.Kedua, mereka tidak berpuashati dengan promoter-promoter yang banyak memberikan peluang kepada penyanyi Indonesia masuk ke pasaran Malaysia.Kata mereka dengan kedatangan warga Indonesia ini telah menyekat periuk nasi mereka.

Saya berasa sungguh kasihan terhadap negara jiran ini iaitu Indonesia.Indonesia ini adalah sebuah negara yang serumpun yang datang dari susur galur melayu yang sama, yang sama seperti kita bezanya mereka adalah sebuah negara miskin ya lebih miskin dari kita.Kita selalu menjadikan Indonesia sebagai ancaman yang sangat berbahaya. Terutamanya pendatang Indonesia yang datang ke sini samaada secara halal atau tidak halal.Mereka selalu digambarkan sebagai penjahat dan pengancam keselamatan.

Kedatangan mereka kesini adalah untuk mencari rezeki kerana di negara mereka kurang peluang pekerjaan berbanding dengan negara kita.Mereka datang dari keluarga yang miskin dan sangat miskin.Dari mana saya mendapat maklumat ini? Saya mempunyai pengalaman bekerja dengan beratus-ratus pendatang dari negara asing Indonesia, Vietnam, India mahupun Bangladesh.. Mereka datang ke sini bergolok bergadai.Ada yang menjual lembu, kambing, tanah malahan anak itik serati sekalipun akan dilelong untuk mencari makan disini.

Apabila sampai di Malaysia ada diantara mereka yang menjadi pencuri, perompak, perampok tetapi kita jangan lupa ada ramai juga yang baik-baik.Malangnya kita telah menjadikan mereka ini sebagai ancaman yang sangat dasyat.Lebih dasyat dari penyangak yang menyangak berjuta-juta duit rakyat negara ini.

Kini tiba pula masanya kita menjadikan penyanyi Indonesia yang kedatangannya secara sah dan halal untuk mencari rezeki di Malaysia sebagai ancaman.Penyanyi kita telah mengamuk dan menibai beberapa pihak kerana telah memberi laluan kepada penyanyi Indonesia mendominasi pasaran tempatan.Habis sumpah seranah dihamburkan.Ianya berpunca daripada tanggapan bahawa peminat muzik kini lebih menyukai penyanyi Indonesia berbanding Malaysia.Jika penyanyi Indonesia mengadakan konsert ramai yang akan hadir.Jika mereka keluarkan album baru album mereka akan laku.Dengan fenomena ini stesen radio banyak menyiarkan lagu-lagu penyanyi seberang.Indonesia sekali lagi mengancam kedamaian kita di bumi bertuah. Sebagai balasannya kita perlu menyekat kemasukan lagu mahupun artis Indonesia ke Malaysia. Malang sungguh nasibmu wahai Indonesia.Sudahlah semua malapetaka bertandang di negara sendiri, hendak menumpang tuah di bumi bertuah kepunyaan saudara sendiri pun warga Indonesia ini telah disumpah seranah.

Nanti dulu, kepada penggiat muzik Malaysia saya mencadangkan agar berfikirlah secara rasional sedikit.Kita perlulah menerima hakikat bahawa muzik kita telah tidak mendapat tempat lagi di kalangan peminat muzik tempatan.Adakah dengan menyekat kedatangan karya-karya dari Indonesia ini akan menyebabkan muzik kita menjadi maju seratus tahun ke hadapan? Adakah dengan menyekat karya-karya Indonesia ini jualan album penyanyi kita dapat mengalahkan Boney M? Cet!!Jangan mimpilah.

Sebenarnya muzik juga adalah satu industri yang terbentuk berasaskan ekonomi.Ekonomi ini dalam bahasa mudahnya ialah satu aktiviti yang dilakukan untuk mendapatkan hasil atau keuntungan.Jadi setiap produk yang dikeluarkan adalah berdasarkan permintaan.Jika tiada permintaan maka sia-sialah sahaja produk yang dikeluarkan itu.Jadi produk yang dapat menawarkan kelebihan akan dibeli oleh pengguna.Setiap produk yang dikeluarkan akan bersaing dengan produk yang berada dalam kelas yang sama untuk memenangi hati pengguna.Jadi dalam indutri muzik tempatan kini telah wujudnya persaingan di antara kita dan Indonesia.Kita telah kalah dalam persaingan ini kerana menawarkan muzik yang tidak memenangi hati peminat muzik.Cara mengatasi masalah ini begitu mudah.Haramkan sahaja muzik Indonesia.

Saya sebagai warga yang bertanggungjawab ingin mengajak penggiat seni agar mencari satu jalan penyelesaian yang waras.Jangan hanya tahu menibai situ sana sini sahaja.Pada hemat saya cara mengatasinya ialah bukan dengan cara menyekat rezeki orang lain.Jadilah warga yang lebih waras.Jadikan sahaja kita lebih kompetitif di dalam pasaran dengan meningkatkan kualiti muzik kita.

Saya tidak mempunyai sebarang sentimen terhadap Indonesia.Saya tidak mempunyai sebarang sentimen terhadap Bung Karno, Amien Rais, Joko Suprianto termasuklah Bunga Citra Lestari.Tetapi saya cukup sedar ancaman sebenar negara kita ialah rasuah yang dalam diam-diam sedang merompak wang saya.Inul Daratista tidak pernah merompak wang saya.Bukan Inul Daratista ya Inul Daratista!!!

Thursday, October 4, 2007

Kisah Hantu Purdah


Semasa saya masih bersekolah di peringkat menengah rendah saya telah menjadi seorang yang penakut.Sifat penakut yang terbentuk semasa itu bukanlah secara tiba-tiba ataupun anugerah dari ilahi tetapi ianya telah melalui proses-proses yang telah dirancang.Rancangan untuk menjadikan saya penakut ini adalah satu taktik kotor yang jahat kerana itu saya tiada sifat keberanian untuk menempuh pancaroba zaman kanak-kanak.

Ketika saya berumur tiga belas dan empat belas tahun iaitu di dalam tingkatan satu dan dua, saya hanya tinggal seorang diri di rumah.Ini adalah kerana saya bersekolah di waktu petang manakala ayahanda dan bonda saya telah keluar bekerja di waktu pagi juga dengan adik beradik yang lain mereka bersekolah di waktu pagi.

Saya telah merayakan keseronokan zaman kanak-kanak saya yang penuh warna-warni.Pagi-pagi lagi saya akan keluar ke rumah kawan-kawan untuk bermain dan merambu keliling taman.Keadaan di waktu pagi ketika itu sungguh sunyi kerana ramai penduduk di situ keluar bekerja.Paling tidak setiap pagi saya akan menunggu di dalam garaj rumah untuk menangkap surat khabar yang dicampak oleh Uncle Bala dengan motor Honda Cup C70 .Kemudian saya akan bersiap untuk ke sekolah dan ketika itulah bonda saya akan menelefon menanyakan keadaan saya telah selamat atau tidak.Semasa menunggu kedatangan bas sekolah itulah saya berpeluang menakut-nakutkan pelajar fardhu ain Tadika Abim yang lalu lalang jalan kecil sebelah rumah.Kanak-kanak itu berjaya saya takutkan.Bas yang saya naiki itu pula adalah bas dalam kategori zaman pra-sejarah yang sungguh hodoh rupa bentuknya, lahiriah dan batiniah.

Suatu ketika, kawasan perumahan saya yang aman damai itu telah di gemparkan dengan kedatangan hantu purdah yang berjantinakan perempuan dimana jika mengikut cerita ia bersama pemandunya menaiki Perodua Rusa berwarna merah akan berlegar-legar mencari mangsa.Apabila berjumpa dengan mangsa yang terdiri dari anak teruna dan gadis sunti, Si Hantu Purdah ini akan membuka purdah dan menunjukkan mukanya yang dipenuhi ulat dan akan menghisap darah mangsa dengan harapan mukanya akan kembali cantik sedia kala seperti Fasha Sanda.Cerita ini terus tersebar hingga ke merata tempat.

Makcik-makcik yang menjadi ahli mesyuarat longkang *ahli mesyuarat longkang merujuk kepada makcik yang akan bertenggek di tepi longkang untuk mengumpat sambil makan buah ceri dan boleh dijumpai dihadapan rumah saya sehingga kini* terus-terusan bercerita dan saya menjadi takut.Saya percaya jika saya ditangkap oleh Si Hantu Purdah ini pastinya makcik-makcik ahli mesyuarat longkang ini tidak akan membantu dan mempedulikan saya.Walhal saya hanya tinggal berseorangan di rumah..Lebih menakutkan lagi cerita yang telah sampai ke telinga saya bahawasanya Si Hantu Purdah ini boleh memasuki sesebuah rumah atau tempat hanya melalui lubang angin sahaja.Kerana katakutan saya telah cuba menutup segala lubang angin yang ada di dalam rumah menggunakan kain batik.Tetapi gagal kerana terlalu banyak lubang angin yang ada.Bonda saya tidak ambil peduli katanya ini hanyalah satu cerita dongeng.Dia telah bertanya kepada saya kenapa Si Hantu Purdah ini tidak ke Klinik Rosli yang berdekatan untuk merawat mukanya? Namun persoalan itu tidak dapat saya jawab yang saya tahu hanyalah ketakutan telah menular di dalam hidup saya.Rupa-rupanya bukan saya sahaja yang menjadi takut tetapi kesemua kanak-kanak yang lain turut ikut serta menyertai saya menjadi penakut.Maka dengan propaganda ini telah berjaya menakut-nakutkan kami dalam kategori kanak-kanak.Tiada lagi kedengaran kanak-kanak keluar malam atau keluar tanpa pengawasan ibu dan bapa kerana khuatir darah mereka akan dihisap oleh si Hantu Purdah yang mengamalkan susuk untuk kelihatan cantik.

Baru-baru ini apabila saya membaca akhbar saya telah terbaca mengenai seorang kanak-kanak yang telah hilang dan akhirnya dijumpai mati dibunuh dengan kejam.Pada mulanya kanak-kanak ini dipercayai telah pergi ke pasar malam seorang diri untuk membeli-belah.Tetapi akhirnya telah mati dibunuh.Saya turut sedih dan simpati dengan keluarga mangsa.Kesedihan saya ini bukanlah dibuat-buat tetapi datang dari hati yang ikhlas.Ini kerana saya pernah kematian kucing kesayangan dilanggar kereta, saya menjadi begitu sedih.Inikan pula seorang ayah kematian anak pastinya kesedihan itu beribu kali ganda.Saya pasti.

Begitu ramai orang menceritakan mengenai kematian kanak-kanak ini pernahkah kita terfikir mengapa kejadian ini berlaku? Adakah kerana Hantu Purdah sudah mati dan dengan kematian Hantu Purdah ini makan kanak-kanak zaman kini sudah berani keluar malam? Sebenarnya kes begini sudah banyak kali berlaku di dalam negara kita Cuma kita sahaja yang tidak mengambil iktibar dari kejadian-kejadian yang berlaku.Pada hemat saya kejadian ini berlaku adalah kerana kegagalan kita untuk memahami hukum alam dan kegagalan kita untuk mengawasi dan memahami tingkah-laku kanak-kanak.Kegagalan inilah yang menjadi penyebab terjadinya kejadian malapetaka ini.Berbagai reaksi saya dengar dimana mereka inginkan polis menangkap penjenayah secepat mungkin dan menghukum penjenayah.Apakah mereka fikir polis ini ingin menangkap pencuri kasut di masjid?

Apa yang perlu kita lakukan kini ialah bukan menangkap penjenayah tersebut, itu adalah kerja polis, yang perlu dilakukan dengan cepat oleh kita ialah meningkatkan pengawasan dan memahami terhadap tingkah-laku kanak-kanak ini.Saya pernah menjadi kanak-kanak dan saya tahu betapa sukarnya bonda saya menjaga, mengawal dan mengawasi saya.Tetapi adakah dengan kesukarannya itu menyebabkan kita akan terus membiarkan kanak-kanak ini menjadi mangsa?

Mari kita lihat sebentar, setiap tahun negara ini akan menghadapi banjir dan setiap kali banjir juga kanak-kanak akan mati lemas.Kanak-kanak yang mati lemas ini bukanlah mati kerana rumah mereka dinaiki air tetapi kerana mereka bermain air.Begitu juga dengan musim perayaan, setahun sekali kita akan menyambut hari raya, dan setiap kali itu juga kanak-kanak akan putus tangan, buta mati dan cedera teruk dibaham mercun.Saya melihat kita tidak pernah mengambil iktibar di atas setiap malapetaka yang berlaku tetapi menunggu saban tahun malapetaka itu datang menjemput kita.Jika tidak percaya, marilah kita melihat akhbar setiap hari mulai hari ini untuk melihat korban mercun ini.Saya pernah juga mendengar mengenai seorang kanak-kanak 3 tahun telah dilanggar oleh Mat Rempit kerana melintas jalan tidak memandang ke kiri-kanan-kiri.Di manakah pengawasan dari ibubapa mereka?

Baru-baru ini di waktu petang ketika menunggu waktu berbuka puasa saya telah tertidur, sebenarnya saya memang merancang untuk tidur dan memang tidurlah menjadi kerja sambilan saya.Sedang saya menikmati kerja sambilan itu, saya telah dikejutkan dengan jiran tetangga mengetuk rumah.Dia kelihatan sangat panik, saya fikir dia terkena renjatan elektrik.Rupa-rupanya dia hanya ingin memberitahu ada orang telah melanggar kereta saya.Saya yang masih terkebil-kebil terus bergegas turun kebawah dari tingkat empat.Apabila sampai kebawah saya melihat plat kereta hadapan telah ranap sama sekali dan beberapa kesan calar kelihatan di bahagian depan kereta.Beberapa ketika, seorang tua datang sambil ketawa dan memberitahu anaknya adalah insan yang bertanggungjawab melakukan kerja terkutuk itu.Tanpa pohonan maaf dia hanya ketawa dan memberitahu yang anaknya itu golongan istimewa atau dengan kata lain terencat akal berumur 9 tahun telah mengambil kunci kereta dan cuba memandu kereta tersebut.Dia berjanji akan menggantikan kembali plat kereta saya yang telah musnah.

Saya mula ragu-ragu mengenai cerita orang tua hangkoi ini, saya ragu-ragu samaada anaknya yang terencat akal atau akal orang tua hangkoi ini yang terencat.Dia hanya ketawa untuk menyembunyikan kegagalannya mengawasi seorang budak berusia 9 tahun.Dalam masa yang sama datang seorang pemandu van ambulan yang isterinya seorang cikgu cantik beranak dua memberitahu dia sudah lama ingin ‘pelangkong’ kepala orang tua hangkoi itu.Saya terkejut lalu dia menunjukkan motorsikal dia juga telah tertonggeng jatuh di langgar anaknya orang tua hangkoi tadi.Petang ini saya ingin menuntut ganti rugi kereta saya kepada orang tua hangkoi itu.Jika tidak saya pula yang akan melanggar plat keretanya sehingga musnah dengan alasan saya telah menjadi seorang yang terencat akal kerana berjangkit dengannya.

Melalui beberapa peristiwa yang berlaku ini iaitu selepas sebelas tahun berlalu barulah saya faham kenapa cerita Hantu Purdah mukanya berulat mencari mangsa dengan menghisap darah ini muncul.Cerita seram yang cuba memandulkan keberanian saya ini telah direkayasa oleh mereka yang telah gagal mengawasi anak-anak mereka dan mereka juga telah gagal memahami hukum alam.Mereka beranggapan dengan adanya cerita seram itu dapat mengurangkan tingkah-laku tidak terkawal anak-anak mereka.Di kesempatan bulan yang mulia ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hantu Purdah kerana telah berjaya menghalang saya dari pergi ke pasar malam seorang diri.Kini saya tidak lagi takutkan Hantu Purdah.

Jika ditanya mengenai harapan, ya saya mempunyai harapan untuk negara ini.Harapan untuk melihat negara saya aman damai seperti kawasan kediaman saya suatu ketika dulu.Al-Fatihah untuk si mati semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.Amin.