Monday, September 17, 2007

Antara Kepercayaan Dan Khurafat


Ketika ini saya sedang mengikuti dengan kusyuknya pertandingan Piala Asia yang sedang berlangsung di Asia Tenggara dan negara saya Malaysia telah menjadi tuan rumah.Dengan kekusyukkan ini saya tidak mahu diganggu dan dikacau walau seminit pun.Tetapi saya tetap diganggu jua walaupun telah meletakkan tanda amaran.

Sejak akhir-akhir ini kehidupan saya telah diganggu walaupun saya telah beberapa kali menyatakan kepada mereka bahawa saya bukanlah jurulatih pasukan bola sepak Malaysia jauh sekali Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia.Tetapi mereka terus berdegil mengganggu saya.Saya telah meletakkan punca gangguan ini kepada dua buah negara yang harus bertanggungjawab iaitu China dan Uzbekistan.Dua buah negara inilah menjadi dalang dan punca saya diganggu dan mereka harus bertanggungjawab.

Ramai diantara pengganggu ini meluahkan perasan malu, kecewa dan mengatakan mereka terlalu sedih dengan perkembangan dan persembahan bolasepak Malaysia.Mereka juga terpaksa mengambil cuti tambahan kerana malu untuk pergi bekerja apabila terpaksa berhadapan dengan pekerja Indon di kilang mahupun operator pengeluaran dari Vietnam.

Walaubagaimanapun, saya tetap rasa begitu terhibur dengan aksi tangkas pemain kebangsaan dan yang penting mereka telah berjaya membuat lawak sarkis yang sangat menghiburkan.Mungkin selepas ini mereka juga boleh berlakon di dalam sitkom senario jika bakat mereka diasah mulai hari mereka di’ayam’ kan oleh China.Saya cukup terhibur. Saya memang tidak terkejut beruk apabila pemain kita membuat lawak sarkis ketika bermain kerana saya telah lama menduga.

Biarkan saya bersurah panjang mengenai faktor kegagalan pasukan bolasepak Malaysia.Mari kita fikirkan sejenak, jika sesebuah syarikat mengalami kerugian, Tuan empunya syarikat yang harus bertanggungjawab.Jika sebuah sekolah mengalami penurunan prestasi pelajarnya maka pengetua sekolah yang harus dipersalahkan. Pertanyaan kini, jika pasukan bolasepak mengalami kekalahan yang memalukan siapa yang harus bertanggungjawab? Jawapan yang tepat pastinya bukan ahli JKK Kampung atau kontaktor kelas F tetapi Presiden Persatuan Bolasepak itu sendiri.

Pada hemat saya kegagalan bolasepak Malaysia bukan atas dasar faktor saiz pemain kita katik, bola tidak cukup bulat atau kita kekurangan bekalan peluru berpandu.Ini adalah alasan-alasan yang langsung tidak masuk akal. Saya telah menjumpai satu punca mengapakah pasukan bolasepak kita hanyalah seperti pasukan pertunjukan sarkis.

Saya ingin mengambil contoh sebuah Negara Eropah Jerman.Presiden Persekutuan Bolasepak Jerman ini bernama Encik Franz Beckenbauer.Encik Franz Beckenbauer ini telah memenangi Piala Dunia sebanyak dua kali iaitu sebagai pemain dan jurulatih, memenangi beberapa kali Piala Eropah dan pernah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Eropah sebanyak dua kali.Beliau berpengalaman luas di dalam bolasepak dunia maka dengan itu beliau telah menerima watikah perlantikan sebagai Presiden Persekutuan Bola sepak Jerman.

Saya ingin bertanya, siapakah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia? Apakah criteria yang ada padanya sehingga menerima watikah perlantikan? Di Malaysia, siapa yang memegang jawatan di dalam persekutuan sukan?Sebenarnya banyak perkara di Malaysia ini telah dipolitikkan.Ini adalah sebab utama mengapa kita tidak mencapai kemajuan di dalam sukan. Ianya hanyalah dipenuhi dengan ahli-ahli politik sahaja yang tidak berpengetahuan di dalam bidang sukan.Inilah masalah sebenarnya sukan dan bolasepak di Malaysia.

Kita telah tersilap langkah.Kita melantik seseorang ke dalam jawatan yang tidak diketahuinya.Inilah yang perlu diperbetulkan.Kita perlulah menjadi orang yang cerdik sedikit dari menjadi bodoh selalu.Hentikanlah perkara sia-sia ini ianya akan merugikan duit rakyat sahaja.Orang dahulu kala pernah bersurah mengenai menyiram air di daun keladi.Percayalah warga semua kerjaan ini adalah kerjaan sia-sia sahaja. Kepercayaan mengenai orang politik boleh membawa bolasepak kita ke mercu kejayaan adalah kepercayaan yang khurafat.Kepercayaan khurafat ini wajib kita tinggalkan.

Mari kita lakukan hipotesis sekali lagi.Bayangkan, ingat cuba bayangkan sahaja.Jika kita menyuruh seorang tukang kebun menjadi guru sejarah, pasti pelajarnya akan gagal.Jika kita menyuruh pelumba F1 membina sebuah gedung pastinya gedung itu akan runtuh sama sekali.Sedangkan ketam juga tidak mampu mengajar anaknya berjalan dengan betul.Ini bermakna jika kita melantik seseorang yang bukan ahli atau pakar di dalam sesuatu bidang sama-samalah kita tunggu kehancurannya.Malangnya kita di Malaysia kini tidak lagi menunggu tetapi sedang menerima bencana ini menimpa batang hidung kita.

Saya telah ketawa berdekah-dekah apabila membaca berita mengenai seorang pengkritik bola sepak yang mengatakan pemain kebangsaan bermain seperti robot dan seperti biasa Pegawai Persatuan Bolasepak mengatakan ini satu penghinaan kepada pemain bola sepak kita.Saya ingin bertanya kepada pegawai ini.Adakah membuat lawak sarkis di dalam pertandingan Piala Asia ini adalah perkara yang anda anggap sungguh mulia?

Saya ingin sarankan kepada semua ahli politik.Anda seharusnya menumpukan kepada bidang politik sahaja tidak perlulah mencampuri urusan lain yang diluar bidang anda.Anda mempunyai kemampuan yang terbatas.Sudah-sudahlah, letak sahaja jawatan.Berikan sahaja kepada yang berhak.

Kita masih lagi mempunyai ramai pemain bola sepak yang pernah melalui zaman kegemilangan untuk sama-sama mengembleng tenaga dan daya fikrah bagi meningkatkan martabat bola sepak kita.Berikan sahaja peluang ini kepada mereka kerana mereka sahajalah yang mengetahui apa yang ada di dalam bolasepak.

Kita tidak memerlukan Carlos Alberto Perreira, Mario Zagallo mahupun Rafa Benitez tetapi memerlukan sedikit ruang kebebasan untuk tidak mengikut kehendak ahli politik.Sejarah telah mencatatkan apa yang berlaku.Sesiapa sahaja jurulatih yang menjadi jurulatih pasukan Malaysia akan tetap gagal.

Saya pasti selepas ini akan ada yang kekosongan jawatan di dalam badan induk ini kerana beberapa ahlinya akan cabut lari dan saya juga pasti ahli politik yang lain pula akan berebut jawatan kosong yang ada.Selagi budaya ini masih berlaku, kita tidak akan kemana-mana.Kita akan masih disini walaupun orang lain sudah sampai ke bulan.

Kepada ahli politik ini saya ingin ingatkan bahawa pilihanraya sudah menjelang tiba.Tumpukan sahaja perhatian untuk meraih undi.Jangan biarkan tamadun bolasepak Malaysia runtuh sama seperti kota Baghdad dan Fallujah.

No comments: