Sunday, April 22, 2007

Kisah Di Sebalik Bumi Putera Rockers


Beberapa bulan yang lalu saya telah membaca sebuah akhbar arus perdana.Sambil menyelak beberapa berita utama saya telah dikejutkan dengan satu berita mengenai BPR.BPR atau Kumpulan Bumi Putera Rockers adalah sebuah Kumpulan Rock Melayu Malaysia yang mula dikenali ramai setelah menyertai "Pesta Hiburan Kingsway".Bumi Putera Rockers merupakan sebuah kumpulan pop/hard rock yang berasal dari Johor Baharu.

BPR ini dianggotai oleh 5 orang ahli yang mana asalnya semua berambut panjang. Gabungan dari bekas ahli kumpulan pecahan seperti Titanic, Hurricane, Purple Grass dan Split Times, kumpulan ini diilhamkan oleh Papa Rock Ramli Sarip, dan diurus oleh Wan Redzmann, seorang pelumba kereta terkenal dan bekas pengurus kumpulan Sweet Charity.

Sebenarnya saya tidak berminat untuk bersurah panjang tentang kumpulan rock ini.Pertama kerana kumpulan ini bukanlah sezaman dengan saya dan yang kedua saya sudah mempunyai koleksi ‘killer song’ dari kumpulan ini.

Apa yang ingin disurahkan ialah mengenai satu lagi BPR iaitu Badan Pencegah Rasuah.Saya berasa sangat hairan mengenai hala tuju sebuah BPR di bahagian utara tanah air.Disurahkan di dalam akhbar itu adalah kempen antirasuah BPR ini.

Tidaklah menghairankan jika BPR ini ingin berkempen untuk membasmi rasuah.Tetapi kempennya ini pada hemat saya telah tidak kena pada tempatnya.Dimanakah tempat yang tidak kena itu?

Jangan bimbang, sebelum bersurah panjang saya akan jelaskan disini apakah yang menghairankan saya.BPR ini telah mengadakan satu aktiviti untuk membasmi rasuah.Aktiviti untuk membasmi rasuah ini dinamakan ‘Karnival Mini Selebriti Anti Rasuah’ dan acara-acara yang dikempenkan untuk membasmi rasuah adalah seperti larian selebriti anti rasuah, sukaneka bersama artis, pertandingan bowling selebriti dan malam amal karyawan.

Pada mulanya saya telah terbarai ketawa sehingga mengeluarkan air mata darah.Apakah ini satu lagi lawak senario atau pun lawak dari raja lawak astro yang baru dinobatkan, tidaklah saya pastikan lagi.Kemudian apabila saya habis membaca apa yang ingin disampaikan saya mulai mabuk laut memikirkan perkaitan diantara pembasmian rasuah dengan aktiviti yang dijalankan seperti yang telah disebutkan tadi.Tiga malam saya terbaring sambil memandang ke syiling memikirkan perkaitannya.

Jika kita ingin memasak nasi maka kita perlu membeli beras dan beras itu dibasuh lalu ditanak di dalam periuk nasi maka hasilnya kita akan dapat makan nasi itu.Jika kita ingin membasmi rasuah pula, perlulah kita mengadakannya dengan secara lebih serius dan lebih intelek kerana ini adalah satu aktiviti tidak sihat yang mengancam keselamatan negara pada pandangan ramai.Jadi perlulah diadakan dialog dan agenda untuk timbulkan kesedaran kepada orang ramai dengan memanggil para akademik dan golongan cerdik pandai untuk sama-sama memikirkan bagaimanakah cara terbaik untuk memusnahkan rasuah ini atau kajian demi kajian dibuat di universiti untuk menemui ubat yang paling mujarab atau menyemak kembali akta-akta yang berkaitan dengan rasuah ini.

Cuba kita sama-sama bayangkan apakah rasuah ini akan menurun kadarnya dengan diadakan pertandingan bowling diantara artis-artis atau dengan hanya mengikut sang penyanyi ini bersukaneka berlari sambil membawa bola ping pong di dalam sudu atau dengan pertandingan tarik tali.Adakah perasuah akan menjadi lebih takut setelah melihat warga kita berlari di dalam guni bersama dengan artis.come on lah!! Ternyata ianya seperti sebuah kisah dongeng masyarakat Melayu Purba.Tetapi nanti dulu, saya bukanlah seorang yang memandang serong keatas pekerjaan seorang artis mahupun mencemburui kepopularan itu.Jauh sekali ingin menjadi artis oh tidak! Saya tidak akan menjadi artis semata-mata ingin membasmi rasuah.

Ini bukanlah isu remeh temeh yang boleh dibuat bahan ketawa di kedai kopi di Felda Sungai Mas mahupun Kampung Lubuk Kawah, ini adalah satu isu negara dan mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.Jadi kita sebagai warga perlulah bertanggungjawab diatas apa jua yang kita telah lakukan untuk negara ini.Negara kita tanggungjawab kita.

Jelas sekali saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada kempen anti rasuah ini.Objektif mahupun tujuannya tidak bertepatan dengan perlaksaan.Kita diberikan fikrah yang baik untuk berfikir secara kritis dan kreatif.Di dalam sistem persekolahan ianya dipanggil KBKK iaitu kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.Pelajar telah diajar bagaimana untuk berfikir secara KBKK ini.Ianya bukan sahaja mengajar cara berfikir tetapi jua mengajar untuk berfikir dan mengajar tentang berfikir.

Setelah saya menggunakan fikrah KBKK ini, saya telah dapati program ini semacam ada ketempangan.Benar-benar dan sungguh-sungguh tidak masuk akal.Lebih memilukan saya telah dibaraikan oleh rakan saya yang berada di negeri Kobe ketika bersurah kepadanya tentang perkara ini.

Mengapakah saya begitu bimbang dengan kempen ini? Ya, mari kita lihat indek rasuah di negara kini, berdasarkan CPI 2006 Malaysia menduduki tangga ke 44 dunia berbanding ke 39 untuk 2005 serta 2004; serta tangga ke 37 pada 2003.Begitu juga dari segi peratusan mata yang dicatatkan iaitu 4.9 peratus, merosot jika dibandingkan 5.1 peratus untuk 2005 iaitu 5.0 peratus (2004) atau 5.2 peratus (2003).Ini bermakna rasuah yang berlaku semakin parah.Kita sebagai warga wajib bertanggungjawab.Keparahan ini bukanlah perkara main-main seperti bermain galah panjang atau dam aji.
Walaubagaimanapun disebalik kehairanan saya ini, ada yang lebih menghairankan lagi.Apabila diselidiki senarai artis yang akan melibatkan diri dengan kempen BPR ini tidak tersenarai pun BPR atau kumpulan bumi putera rocker yang berkongsi nama dengan badan ini.Apa yang pasti saya tidak akan berlari di dalam guni sambil membawa bola ping pong untuk menakut-nakutkan perasuah.

Sunday, April 15, 2007

Hikayat Akademi Fantasia


Akademi Fantasia kembali lagi untuk musim yang kelima.Mintak maaf saya bukanlah seorang penyokong totok AF yang akan datang bersepanduk dan menconteng muka dengan warna kesukaan untuk menyokong peserta kegemaran saya ke stadium setiap minggu jauh sekali untuk membuang undi melalui SMS.Jangan haraplah, saya tidak akan berbuat begitu.Tetapi saya juga tidak akan menentang sebarang bentuk program realiti tv ini disebabkan saya pernah menuntut mengenai pengurusan perniagaan yang tahu nilai untung rugi tetapi tidak pula bermakna saya tidak belajar mengenai akidah.

Saya bukan ingin bersurah mengenai pengurusan jauh sekali akidah, tetapi ada sesuatu yang menarik minat saya didalam AF ini.Saya telah melakukan kajian ilmiah mengenai AF ini.Kajian yang saya temui ini bukanlah melalui suara penyanyi kerana kesemua penyanyi yang keluar dari Akademi ini tidaklah sehebat Siti Nurhaliza mahupun Jamal Abdillah.Kajian yang dibuat ini adalah bagaimana hendak menjadi juara AF.

Pada hemat saya kesemua peserta AF ini boleh menyanyi dan keupayaan mereka hampir setara sahaja.Saya ulang pada hemat saya sahaja ini disebabkan saya bukanlah seorang pengamal Muzik atau Paul Moss mahupun Khairil Johari Johar.Jadi bagaimanakah mereka boleh terpilih menjadi juara sedangkan suara mereka lebih kurang sahaja? Sebenarnya disinilah yang ingin saya bersurah panjang.

Untuk menjadi juara di dalam pertandingan realiti tv ini tidaklah perlu bersuara ‘buluh perindu’.Tetapi perlu menjadi seorang melayu.Mengapa? Ini adalah kerana peserta akan dipilih pemenang bukan melalui juri profesional tetapi melalui undian sahaja.

Mereka di luar akan membuat undian melalui pandangan mereka tersendiri.Biarlah saya bersurah dengan lebih teliti.Pakcik dan makcik ini akan mengundi pelajar yang difikirkannya baik dari segi sahsiah, mana yang mereka rasa sedap mata memandang dan yang penting sesuai dibuat menantu maka peserta itulah yang akan dipilihnya.Golongan warga emas pula pasti ingin memilih peserta yang dirasakan sesuai untuk dibuat cucu menantu manakala gadis-gadis sunti akan mengundi peserta yang dirasakan sesuai dibuat pasangan hidup.Begitu jugalah dengan jejaka-jejaka di Malaya ini yang pastinya akan mengundi peserta yang menarik hatinya untuk dilantik menjadi permasuri yang beraja dimata dan bersultan di hati.Pengundi ini ,majoritinya adalah melayu.

Melalui kajian ini, saya tidak berjumpa dengan teori siapa suara paling sedap yang akhirnya akan memang dan membawa pulang hadiah hampir setengah juta ringgit.Jika anda berfikiran sedemikian.Harap maaf anda telah silap besar.

Ramai peserta yang memasuki akademi ini langsung tidak membuat kajian ilmiah terutamanya peserta perempuan.Nanti dulu, janganlah anda naik darah dengan kenyataan saya ini.Ini hanyalah andaian saya sahaja.Tetapi saya mempunyai hujah yang kukuh.Ini dapat dilihat dimana peserta yang masuk kelihatan memperlihatkan sifat supaya pengundi tidak bernafsu untuk mengundi mereka.Mereka tidak memperlihatkan sifat kemelayuan yang sejati.Mengapakah sifat kemelayuan ini penting?Ini adalah kerana pengundi itu Melayu dan memang sifat manusia sukakan orang yang banyak persamaan dengan diri mereka.

Kita dapat melihat ada diantara mereka masih lagi tergedik-gedik dan bersifat mengada-ngada yang lebih sudu dari kuah di depan kamera.Saya juga telah terbarai ketawa apabila ada seorang peserta ini menangis meraung-raung teringatkan kucing di rumah.Jika beginilah sifat dan jatidiri yang dimiliki Warga Malaysia, Oh! Sungguh memalukan.Walaupun demikian itu masih bernasib baik, bagaimana pula jika pelajar itu memelihara mentibang laut?.Bayangkan apa yang berlaku.

Apa yang terjadi hasil dari bersahsiah seperti ini? Mereka pastinya akan ditendang keluar hidup-hidup pada minggu-minggu awal.Ini kerana mereka tidak berjaya menjadi seorang melayu, bermakna mereka tidak berjaya menarik perhatian pengundi.Tidak perlulah saya bersurah panjang mengenai tatacara dan budi bahasa orang melayu kerana kita bukanlah seperti haruan yang tidak mengenal anak sendiri untuk dimakan.

Saya pernah bertanya dengan seorang anak muda sebaya saya mengenai hal ini.Pada hemat si anak muda ini setiap peserta mempunyai hak untuk menonjolkan sifatnya sendiri termasuk memperlihatkan sifat tergedik-gedik dan mengada-ngada.”jangan hipokrit lah brader!!”.ujar beliau.

Pada hemat saya apabila peserta ini dipilih ke dalam akademi yang perlu diberi keutamaan adalah untuk menjadi juara dan menarik perhatian pengundi untuk mengundi dan bersifat baik dan bukannya untuk memperlihatkan sifat buruk sebenar sambil mendabik dada ‘inilah diri saya yang sebenarnya’.Cet, ingat!! anda akan ditendang keluar hidup-hidup.Mudah-mudahan sifat baik ditonjolkan di akademi akan sebati dengan diri dan menjadi amalan selepas itu.

Jadi untuk menjadi juara ini kita tidak perlu berkulit putih, tersusun gigi atau tergedik-gedik.Kita perlu menjadi orang yang berilmu dan pandai menggunakan ilmu itu sebaiknya.Carilah sifat melayu yang ada di dalam diri dan yang pasti juara akademi fantasia juga mampu menjadi menantu yang baik.Tetapi menantu yang terbaik bukanlah boleh dimain undi-undi melalui sms.

Tuesday, April 10, 2007

Senyuman Manis Si Buah Hati di Bawah Pohon Beringin




Pada minggu lalu saya telah berjaya mengubah cara hidup ke arah yang lebih sihat.Saya telah pergi bersenam.Bagi saya kesihatan ini amatlah penting untuk memastikan saya dapat hidup dengan lebih gembira.Sebenarnya ada rahsia disebalik keputusan saya untuk bersenam.

Bersenam ini tidaklah dapat menarik minat saya jika dibandingkan dengan berkaraoke jamban *merujuk kepada aktiviti karaoke di bilik yang kecil*.Tetapi ada yang berjaya menarik minat saya untuk bersenam.Sebenarnya saya telah diajak oleh si buah hati untuk melakukan senaman.Antara alasan popularnya ialah takut-takut nanti saya diserang oleh penyakit obesiti jika terlalu lama berada di dalam karaoke jamban.Saya telah menerima lamaran dari si buah hati saya ini dengan tangan terbuka.Disebabkan itu saya begitu bersemangat untuk bersenam.Jika tidak jangan haraplah.

Sebenarnya selain bersenam saya juga dapat merayakan zaman kemudaan dengan cara lebih sihat bersama si buah hati yang tersayang.Saya telah mengambil keputusan untuk melakukan aktiviti ini di taman rekreasi.Sememangnya taman ini diperuntukkan untuk orang bersenam.

Tetapi apa yang telah mengejutkan saya ialah keadaan fasiliti yang berada di taman di pesisiran pantai itu amatlah mendukacitakan.Taman itu sesungguhnya begitu indah terletak bersebelahan dengan pantai dengan tasik buatan yang agak luas ditemani oleh dua ekor biawak yang sering kelihatan berkeliaran, mempunyai track jogging yang panjang dan mempunyai fasiliti senaman yang lengkap, tetapi fasiliti untuk melakukan senaman di tempat ini telah musnah punah ranah sama sekali.

Adalah amat mustahil jika kemusnahan ini dipertanggungjawabkan kepada Soldadu Amerika yang telah memusnahkan fasiliti senaman di Negeri Baghdad atau mempertanggungjawabkan Tentera Nazi Jerman kerana kedua-dua malaun ini tidak pernah sampai ke taman rekreasi ini mahupun menyalahkan kejadian Gunung Berapi Pinatubo di Filipina kerana tidak sedikitpun lahar gunung ini yang telah mengalir sampai ke taman rekreasi ini.Jadi ini angkara siapa?

Saya begitu pasti kemusnahan ini adalah hasil dari kraf tangan warga kita iaitu Warga Malaysia yang tidak bertanggungjawab.Tidaklah saya dapat memahami tentang orang –orang yang suka menjahanamkan harta benda awam ini.Sedarlah bahawa segala infrastruktur yang dibina ini adalah melalui duit kita semua.Adakah logik bagi kita sebagai orang yang mengeluarkan duit kemudian merosakkan harta benda sendiri yang modalnya kita yang laburkan?

Nanti dulu, jika kita terlalu bengap untuk memahami keadaan ini mari saya jelaskan satu persatu.Fasiliti ini telah dibina oleh kontraktor yang telah dilantik oleh kerajaan.Dari mana kerajaan mendapat duit untuk membina fasiliti seperti ini? Duit ini adalah duit cukai yang dikutip daripada rakyat.Siapakah rakyat itu? Rakyat itu adalah kita sebagai warga.Bukankah ini bermakna fasiliti itu dibina menggunakan wang kita dan kita
adalah tuan yang empunya fasiliti untuk dikongsi bersama? Jadi, mengapakah kita perlu memusnahkan fasiliti ini.Menjahanamkan fasiliti ini samalah seperti kita menjahanamkan harta benda kita sendiri.

Pada hemat saya, tentulah orang yang menjahanamkan fasiliti ini adalah orang yang dikategorikan sebagai berotak udang dan tidak berguna.Ketika ini saya masih runsing memikirkan mengapakah orang-orang yang tidak bertanggungjawab ini suka memusnahkan sesuatu yang amat berguna atau orang orang yang tidak berguna ini juga patut dimusnahkan sama sekali?Adakah mereka tidak suka melihat sesuatu yang baik dan cantik juga?

Melalui soalan-soalan ini fikrah saya semakin bercelaru.Lebih mengecewakan, saya telah terserempak dengan seorang makcik yang sedang memegang anaknya untuk membuang najis di tepi fasiliti yang digunakan untuk bersenam.Walaupun dalam keadaan yang sukar ketika itu, makcik itu masih sempat melemparkan senyuman kepada kami berdua.Saya tertanya-tanya adakah senyuman dari makcik itu adalah satu sedekah ataupun tanda-tanda ia mahu disumpah menjadi batu?

Fokus saya untuk bersenam menghindarkan diri dari obesiti telah lama tersasar.Setelah penat saya dan si buah hati mengambil keputusan untuk berehat di bawah pohon beringin di tepi laut.Sekali lagi saya ditimpa malang, kawasan ini berselerak dengan sampah.

Sebenarnya saya mempunyai cerita disebalik sampah ini.Ketika itu umur saya mula-mula menginjak remaja.Bersama kawan-kawan, kami telah ke Kuala Lumpur untuk merayakan keremajaan kami.Kami berkereta kancil berwarna biru versi lampu bulat.Kami bertolak petang mudah-mudahan akan sampai ke Kuala Lumpur nanti di tengah malam hari.Kami berkongsi duit untuk membayar tol,minyak dan makan.

Oleh kerana tidak cukup duit kami hanya membeli kacang untuk berkongsi makan di dalam kereta.Ini kerana kami memikirkan kos perbelanjaan di Kuala Lumpur nanti akan menipiskan poket kami.Di pertengahan perjalanan, perut mulai lapar dan saya telah mula memakan kacang, jadi kulit kacang yang saya makan ini telah saya kumpulkan di dalam tisu kerana tidak mahu mengotorkan dalam kereta dan alam sekitar dengan harapan saya akan berjumpa dengan tong sampah di R&R dan membuangnya ke situ.

Saya telah diketawakan oleh kawan-kawan saya yang lain kerana dikatakan terlalu ‘sivik maut’.Kawan-kawan yang lain begitu berbangga makan bersama kacang itu dan membuang kulit kacang ke lebuhraya dengan penuh rasa bangga sambil menyanyikan lagu ‘Proud To Be Malaysian’ nyanyian kugiran The Offical.

Jadi berbalik ke pohon beringin, saya mulai sedar bahawa warga kita sememangnya tidak tahu bagaimana menjaga alam sekitar ini dengan baik sekali.Mereka tidak sedar bahawa inilah anugerah dari tuhan yang sangat indah yang dimiliki oleh hambanya secara percuma.Tiba-tiba saya tergelak besar kerana teringatkan kisah sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2007 dimana ada pihak yang membina tandas elektronik untuk warga kita gunakan.Tidak semena-mena saya terbarai ketawa kerana memikirkan bagaimanakah warga kita akan menggunakan tandas elektronik itu nanti sedangkan membuang sampah ke dalam tong pun mereka tidak tahu.Si buah hati saya juga turut tersenyum seakan tahu apa yang saya fikirkan.Dia kelihatan sangat manis tersenyum kerana dia tahu saya pandai menjaganya.

Monday, April 2, 2007

Cerita Melayu dan Hari Jumaat

Seperti Umat Islam yang lain, setiap hari jumaat saya akan ke masjid untuk menunaikan solat jumaat.Tetapi setiap kali saya ke masjid, saya mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan warga yang bernama melayu.

Dalam seumur hayat , saya belum pernah melintasi Jalan Sutera, Cairo, Bangalore, Nairobi di Kenya mahupun Masjidil Haram untuk melihat Orang Islam di negara lain bersembahyang jumaat.Tetapi di negara ini telah banyak tempat yang sempat saya jelajahi.

Pada hemat saya ada sesuatu yang pelik di dalam upacara sembahyang ini setiap kali jumaat menjelang tiba.Maksud kepelikan saya disini ialah gangguan bunyi bising ketika khutbah sedang dibacakan.Bunyi ini kedengaran begitu kuat malahan lebih kuat dari suara khatib yang sedang asyik membaca khutbah.

Saya pasti tak akan menghiraukan jika suara itu semerdu suara Siti Sarah Raisudin Hamzah yang selalu saya dendangkan lagunya di kala malam hampir menutup layarnya.Tetapi kebisingan ini jelas sekali meghilangkan fokus saya untuk mendengar khutbah percuma dari si khatib yang bertugas.

Sebenarnya bunyi bising ini datangnya dari kanak kanak yang saya tidaklah berapa pasti statusnya sama ada sudah baligh atau pun belum.Tetapi yang pasti setiap kali jumaat mereka ini akan datang ke masjid semacam ingin merayakan zaman kanak-kanak mereka .Bagi saya sifat kanak-kanak ini adalah sangat tidak bertanggungjawab. Kebisingan ciptaan kanak-kanak ini hampir pasti mengalahkan kebisingan pasar malam di Taman Senai Utama.

Tetapi yang lebih memelikkan keadaan ini, para petugas masjid seperti tidak pernah ambil peduli tentang kerunsingan saya.Malahan jemaah lain menggambarkan mereka jua turut sama lali dengan kebisingan itu.Saya begitu hairan kerana petugas masjid ini langsung tidak menunjukkan sifat peka dan peduli tetapi hanya sebagai orang pekak yang tuli.

Jadi setiap minggu pada hari jumaat saya datang ke masjid fokus saya semakin lama semakin berubah iaitu bukanlah hendak sangat mendengar apa yang dikhutbahkan oleh si khatib tetapi lebih ingin memikirkan bagaimana menyelesaikan gelagat kanak-kanak yang “tak reti bahasa” ini.

Pada hemat saya seharusnya ibubapa kepada kanak-kanak yang “tak reti bahasa” ini berfikir panjang samada ingin membawa bersama anak-anak ini pergi menghadiri upacara atau melarang sama sekali.Jika ianya hanya mendatangkan kesulitan bagi pihak lain adalah lebih baik kanak-kanak ini dibuaikan saja di dalam buaian di rumah.

Adakalanya saya juga terfikir adakah ibubapa kepada kanak-kanak ini juga 2x5 “tak reti bahasa” kerana membiarkan anak mereka membuat onar di dalam masjid? Pepatah melayu ada menyebut bapa borek anak rintik tetapi ini telah terbalik.Pada saya pepatah ini telah bertukar rupa bentuk dan pengertian kepada anak borek bapak rintik.Ini kerana bapa juga mengikut perangai anak mereka yang “tak reti bahasa”.

Seperkara lagi yang telah berjaya menghilangkan fokus saya mendengar khutbah ialah si khatib yang berkhutbah.Saya merasakan si khatib yang dipilih untuk berkhutbah ini perlulah lebih selektif, ini adalah kerana suara mereka ini tidaklah sehebat Jamal Abdillah, maka khutbah mereka tidaklah dapat menarik minat jemaah yang datang untuk mendengar sebaliknya mereka lebih memilih jalan untuk tidur sahaja.

Untuk menjadi khatib, tidaklah perlu suara seperti Si Jamal Abdillah itu tetapi janganlah seperti orang yang sedang nazak ingin bercerita kepada cucunya berkenaan Sang Kancil dengan Buaya.Suara si khatib kadangkala lebih teruk dari bunyi si Mamat yang tidur berdengkur itu.Si khatib ini perlu dihantar untuk berguru dengan Bentara Guru untuk membetulkan ‘picthing’ suara mereka agar lebih menarik perhatian jemaah mendengar dari terus berdengkur tidur.Mungkin juga si mamat yang berdengkur tidur ini lebih dulu menemui jalan ke syurga berbanding si khatib yang sedang berkhutbah tidaklah dapat saya ketahui.

Lebih malang lagi, saya pernah terserempak dengan warga luar yang bersembahyang bersama.Warga ini tertarik mungkin dengan slogan Tahun Melawat Malaysia 2007 jadi dikesempatan ini mereka juga ingin merasakan bagaimanakah bersembahyang jumaat di Malaysia.Apakah persepsi warga luar ini apabila melihat senario ini berlaku di dalam masyarakat melayu kita?

Jika perkara ini tidak diperbetulkan, senario ini pastinya berterusan lagi sehingga puluhan tahun mendatang walaupun kita dikatakan merdeka 50 tahun sekalipun.
Akhirnya saya telah mengambil keputusan tidak akan sesekali pergi kearah kanak-kanak ini dan menjerit kepada mereka untuk diam kerana ianya adalah satu tindakan yang sia-sia sahaja.Bagaikan menyembur nyamuk dengan ricset di dalam hutan.Pastinya, saya akan ke masjid lagi jumaat ini tetapi bukan untuk menyembur nyamuk dengan ricset.