Thursday, November 8, 2007

Insan Kamil Yang Didiskriminasikan


Baru-baru ini saya telah menerima email dari seorang kawan yang menceritakan mengenai kebiadaban seorang cina yang memakai baju yang menghina kepercayaan dan pegangan orang melayu.Kejadian ini berlaku di sebuah pasaraya dimana orang melayu ini adalah pekerja disitu.Melalui email ini dinyatakan bahawa orang melayu yang menegur perbuatan cina ini akhirnya di buang kerja di atas alasan tidak menjaga kepentingan perniagaan untuk mempertahankan pegangan yang dianutinya.Email ini telah disebarkan kepada saya dan juga manusia lain.

Jauh disudut hati kecil saya langsung tidak mempercayai cerita ini.Bagi saya cerita ini hanyalah satu cerita haprak lagi kurafat yang dicipta untuk menimbulkan satu keadaan tidak selamat diantara kaum di negara ini.Cerita ini ingin menyuntik semangat nasionalisme perkauman yang menebal.Tahukan kita mengapakah perkara ini terjadi?

Pada hemat saya setiap perkara yang berlaku mempunyai sebab musabab samalah seperti kisah bagaimana Kassim Selamat membutakan matanya dengan garpu.Sebab utama Kassim Selamat membutakan matanya adalah kerana tidak tahan lagi memandang kebejatan dan penipuan yang berlaku di hadapan matanya yang dilakukan oleh ibu mertuanya ya! Ibu mertuanya.Untuk pengetahuan, saya belum mempunyai ibu mertua.Jadi kejadian penyebaran email ini juga ada sebab musababnya.

Saya merasakan sebab utama penyebaran email ini adalah kerana rasa ketidakpuasan hati muncul dalam diri setiap kaum apabila mereka tidak dilayan dengan adil dan sama rata.Negara kita adalah sebuah negara demokrasi yang mempunyai pelbagai kaum yang hidup aman dan damai.Sejak dari kecil lagi pemikiran saya telah diracun dengan negara ini adalah sebuah negara yang aman dengan penduduk pelbagai kaum.Apa nak diherankan dengan pelbagai kaum ini kerana kebanyakan negara lain juga mempunyai pelbagai kaum.Adakah penduduk di Uganda tidak pernah menerima kedatangan para tetamu dari Zimbabwe atau negara Perancis tidak mempunyai penduduk berketurunan Algeria?

Saya ingin bersurah mengenai pengalaman saya.Suatu ketika dahulu, saya pernah bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa.Agak lama juga saya menghambakan diri di syarikat itu.Pada suatu hari ketika menjalankan tugas harian saya telah menerima email dari pengurusan tertinggi yang mengatakan saya telah diarahkan untuk mengikuti Kursus Bomba dan Menyelamat.Kursus ini perlu dihadiri selama tiga hari dan dikelolakan oleh Jabatan Bomba.

Ketika itu saya masih menjadi seorang insan kamil yang memegang prinsip “saya yang menurut perintah”.Jadi dengan penuh kezuhudan tanpa banyak bicara bersetuju untuk menyertai kursus itu.Syarikat ini sebenarnya mempunyai pekerja dari pelbagai kaum sama sahaja sifatnya seperti negara saya yang tercinta.Apabila tiba sesi pertama kursus itu saya sangat terkejut kerana yang menyertai kursus itu hanyalah terdiri daripada Kaum Melayu dan India sahaja sedangkan orang yang bertanggungjawab dalam mengendalikan kursus ini adalah berbangsa Cina dan ramai bangsa Cina juga bekerja di syarikat itu.Saya tertanya sendirian, mengapakah tiada bangsa Cina yang menyertai kami di bawah panas terik mentari untuk mempelajari cara untuk menyelamatkan manusia lain? Saya tertanya-tanya adakah tujuan saya dilahirkan untuk menyelamatkan bangsa Cina dari hangus terbakar? Saya juga hairan sejak bilakah bangsa cina ini mendapat status peribumi di dalam syarikat itu? Persoalan ini terus menghantui saya.Di dalam kursus itu saya telah mempelajari selok belok bagaimana menyelamatkan manusia yang berada di dalam bangunan.Ketika akhir sesi kursus ini kami telah membuat satu demonstrasi bagaimana untuk memadamkan kebakaran tetapi saya tidak mencubanya.Saya tidak mencuba memadamkan kebakaran kerana ketika setelah seorang peserta yang membuat demo ini berjaya memadamkan kebakaran, bangsa cina yang memerhatikan dari tepi menepuk tangan dengan begitu kuat menandakan mereka sangat senang hati dengan keupayaan kami memadamkan kebakaran dan mereka sangka kamilah orang yang dilahirkan di dunia yang fana ini yang akan menyelamatkan mereka ketika kebakaran muncul.

Jangan haraplah, saya momohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki kepada mereka kerana saya tidak akan menyelamatkan mereka kerana jelas disini telah berlakunya diskriminasi perkauman yang nyata.Adakah saya tidak berperi kemanusiaan? Ya, saya tidak mempunyai nilai kemanusiaan terhadap manusia yang tidak menghormati martabat insaniah.Jika saya ditanya adakah saya ingin memberi bantuan pernafasan dari mulut ke mulut jika Presiden Bush ditemui lemas di Tasik Superior di sempadan Canada? Jawapan saya ialah tidak sama sekali.Mungkin saya akan berlakon menjadi buta seperti Kassim Selamat untuk mengelakkan dari menyelamatkan Encik Bush.

Ada satu lagi kisah yang terjadi ketika saya masih lagi bekerja di syarikat itu.Setelah saya menilai amalan diskriminasi dan ketidakadilan ini berlaku, saya memutuskan untuk mencari pekerjaan di tempat yang boleh menjamin tiada amalan diskriminasi terhadap saya, bangsa saya dan apa jua bangsa yang ada di negara saya yang tercinta.Jadi saya membuat keputusan untuk mendaftar dengan sebuah ejen mencari pekerjaan.Ejen ini akan menghantar email kepada saya untuk memberitahu syarikat manakah yang mempunyai kekosongan jawatan.Hampir setiap hari saya mendapat maklumat.Tetapi apa yang saya jumpai adalah perkara yang sama iaitu diskriminasi perkauman yang cukup nyata di dalam negara ini yang dikatakan aman damai cemerlang gemilang dan terbilang.Kebanyakan dari kekosongan jawatan yang perlu diisi ialah yang memerlukan seseorang calon itu fasih di dalam bahasa Mandarin.

Di dalam kehairanan, saya telah ketawa berdekah-dekah.Adakah ini salah satu lawak Pua Chu Kang yang diimport dari Singapura? Saya telah menjadi hairan, adakah kini saya berada di Hong Kong ataupun Ibu Negeri Taiwan? Adakah kini kampung halaman saya telah bertukar rupa bentuk menjadi bangunan-bangunan di Guangzhou? Bilakah tarikh Menteri Pelajaran Malaysia mewajibkan bahasa mandarin diajar secara formal di sekolah saya? Adakah saya telah tertidur ketika pengumuman Sains dan Matematik perlu diajar di dalam bahasa mandarin? Adakah nama saya sudah ditukar ejaannya kepada Chin Peng? Sejak bilakah pihak-pihak ini memiliknegarakan syarikat-syarikat untuk membentuk dasar kepada sesebuah kerajaan.Pertanyaan ini sesungguhnya berjaya membuatkan saya berada di persimpangan dilema.

Saya mulai terfikir adakah kerana negeri China ketika ini muncul sebagai gergasi ekonomi menyebabkan seluruh warga negara saya perlu fasih berbahasa mandarin untuk mendapat pekerjaan.Keadaan negeri China ketika ini sama sahaja dengan India yang menjadi gergasi ekonomi baru di dunia.Jadi mengapakah saya tidak menjumpai kewajiban untuk fasih di dalam bahasa Hindustan untuk mencari pekerjaan di Malaysia? Poodah!!

Kejadian-kejadian ini menunjukkan isyarat bahawa kita sedang mengalami krisis.Krisis dimana kita sebagai warga telah didiskriminasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.Krisis dimana satu strategi busuk bagi sesetengah individu atau organisasi yang berfikiran sempit untuk menidakkan anak bangsa saya untuk sama-sama merebut peluang pekerjaan.

Negara kita tanggungjawab kita.Sebagai warga yang bertanggungjawab saya menolak keras perlakuan diskriminasi ini.Saya menyeru kepada semua warga kita agar jangan terperangkap dengan propaganda diskriminasi kaum ini.Diskriminasi ini haruslah ditentang habis-habisan dan pihak yang menganjurkan diskriminasi ini perlu kita bakulsampahkan dengan kadar yang segera.Tetapi kita juga masih bernasib baik kerana untuk menjadi angkasawan belum ada ditetapkan syarat perlu fasih berbahasa mandarin.

Saya tidak akan membutakan mata seperti Kassim Selamat untuk menghalang kebejatan ini dan saya juga tidak akan belajar bahasa mandarin untuk menuju jalan ke angkasa.Saya mengulangi yang saya tidak mempunyai sentimen terhadap bangsa-bangsa yang wujud di dunia ini tetapi tidak untuk diskriminasi perkauman.

Tuesday, October 30, 2007

Skim Cepat Kaya


Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua terutama buah hati saya yang jauh dimata.Sekarang ini saya telah menjadi seorang warga yang telah pokai.Duit saya telah berkurangan dengan kadar yang banyak kerana disedekahkan kepada kanak-kanak.Saya menjadi begitu pemurah ketika tibanya Syawal Bukan itu sahaja saya juga perlu menunaikan tanggungjawab untuk menukar langsir baru, membayar cukai jalan, menggantikan cermin kereta yang pecah dan akhirnya tayar kereta saya juga telah sampai ajal menjelang hari raya.Saya menjadi sangat sedih bukan kerana ajal tayar kereta telah sampai tetapi kerana duit saya yang menemui ajalnya.Akibatnya duit yang saya kumpul untuk berjumpa dengan buah hati saya telah terjejas.Mungkin selepas ini saya perlu mengikat perut menggunakan tali tangsi.

Ketika Syawal tiba, saya telah didatangi oleh seorang kawan.Kedatangannya bukanlah dijemput walaupun sekarang ini saya sedang merayakan zaman kemudaan saya di hari raya yang mulia.Kedatangan kawan saya ini juga bukanlah untuk sama-sama makan lemang dengan rendang.Tetapi untuk mengajak saya sama-sama menyertai Skim Cepat Kaya.

Saya menjadi begitu teruja.Melalui cerita kawan saya ini, Skim Ini akan menjamin masa depan yang cemerlang gemilang dan terbilang.Bayangkan jika saya melabur RM20,000 saya akan mendapat 10% daripada wang pelaburan setiap bulan selama 5 tahun.Wang saya akan berganda-ganda dan saya akan menjadi warga yang kaya raya.Selepas 5 tahun wang yang akan saya perolehi sebanyak RM120,000.Ya kaya raya, kaya di hari raya tidak seperti sekarang saya pokai di hari raya.Ini pastinya akan memudahkan tugas saya untuk menyunting bunga di taman.

Kawan saya ini telah menceritakan bagaimana mertuanya telah menjadi kaya raya dengan sekelip mata apabila menyertai skim ini dan mendapat sebuah kereta yang sangat mahal harganya lebih mahal dari kereta yang saya miliki.

Sebelum ini saya telah banyak berfikir untuk hidup senang.Tetapi saya tidak menjumpai jalan mudah.Tiada jalan mudah untuk hidup senang.Di dalam sistem ekonomi kapitalis warga yang kaya akan bertambah kaya, warga yang miskin akan hidup papa kedana.Saya telah memikirkan mengenai telahan saya ini dan ianya ternyata tepat sekali.

Mari kita lihat di dalam sistem perbankan.Jika anda ingin membuat pinjaman kewangan anda perlulah mempunyai slip gaji yang telah ditetapkan amaunnya atau anda perlulah membuat cagaran harta benda yang anda miliki.Tetapi jika anda hanya memiliki seekor itik serati dengan serta merta permohonan anda untuk membuat pinjaman wang akan ditolak hidup-hidup.

Fikirkan seorang warga yang papa kedana ingin memulakan perniagaan, adakah warga ini mempunyai slip gaji yang cukup amaunnya? Adakah warga ini mempunyai hartanah yang cukup untuk digadaikan? Jawapannya tidak.Tiada ruang warga yang miskin untuk meminjamkan wang dari sistem perbankan.Inilah yang bermaksud yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana.Inilah telahan saya mengenai sistem ekonomi kapitalis.

Saya masih beruntung kerana tidak berstatus papa kedana tetapi hanya bertaraf pokai sahaja.Tahap pokai ini sebenarnya adalah lebih mulia martabatnya berbanding papa kedana.Jika anda tidak percaya, anda boleh mencuba dari sekarang untuk menjadi papa kedana.

Ayah saya pernah menceritakan dimana dia telah mendapat satu surat yang menyatakan dia telah memenangi sebuah kereta dan boleh mengambil kereta tersebut dengan kadar yang segera di suatu tempat.Melalui penceritaannya, dia teragak-agak untuk mempercayai surat itu.Tetapi setelah memikirkan hadiah yang ditawarkan itu sangat lumayan iaitu sebuah kereta yang harganya lebih mahal dari kereta saya, dia telah membuat keputusan untuk membuat tuntutan.Ayah saya telah terkejut kerana mendapati segala telahannya jauh tersasar.Pejabat pihak yang ingin memberi hadiah yang lumayan itu hanyalah terdiri dari himpunan meja-meja plastik yang diatasnya tersusun rapi cawan-cawan di bawah pohon beringin di tepi jalan

Apabila sampai sahaja pihak tersebut telah mengucapkan tahniah kepada ayah saya bagaikan ayah sayalah orang pertama yang akan memandu kereta mewah itu ke pusat angkasa lepas.Sebelum pihak terbabit memberikan hadiah tersebut, mereka telah menetapkan syarat dimana ayah saya perlu memasukkan deposit sebanyak 10% dari harga kereta tersebut.Jika tidak ayah saya hanya memenangi sebuah cawan yang berjenama Colgate.

Rakan saya juga pernah menerima khidmat pesanan ringkas.Pesanan itu mengucapkan tahniah dan mengatakan bahawa dia telah memenangi beribu ringgit dan perlulah memasukkan deposit dahulu ke dalam akaun yang telah ditetapkan oleh pihak tersebut.

Apa kaitan diantara skim cepat kaya dengan hadiah kereta yang pernah ditawarkan kepada ayah saya.Perkaitannya adalah sama, kedua-duanya menjanjikan hadiah yang lumayan dengan kadar yang segera dan kedua-duanya memerlukan kita melabur sejumlah wang untuk mendapatkan pulangan yang belum tentu kepastiannya.

Lihat betapa liciknya gerakan skim cepat kaya ini memperdayakan warga kita.Kini saya didatangi oleh seorang kawan.Saya bukan tidak mempercayai kawan saya ini tetapi saya tidak mempercayai skim cepat kaya yang ada di dalam dunia ini.Cuba bayangkan hanya untuk membuang air sahaja saya telah dijerut di bahagian leher dengan bayaran meningkat dari 20sen kepada 30sen.Mana mungkin mencari pihak yang ingin memberi kekayaan kepada saya dalam kadar yang segera.Mana mungkin saya dapat mencari insan kamil yang ikhlas untuk memperkayakan diri saya.Di kesempatan ini saya menyeru semua warga yang bertanggungjawab untuk sama-sama tidak mempercayai kepercayaan khurafat yang dibawa oleh kutu-kutu berahak ini.

Monday, October 22, 2007

Cerita Tentang Orang Dari Seberang


Saya tidak ingin menjadi penyanyi.Saya mengulangi sekali lagi bahawa saya tidak ingin menjadi penyanyi untuk membanteras rasuah.Walaupun ditawarkan oleh Man Kidal atau Fauzi Marzuki.Mengapakah saya cuba mengelak daripada menjadi penyanyi? Cukuplah saya hanya menjadi penyanyi karaoke jamban sahaja.Ia sudah mencukupi.Walaupun saya tahu menjadi penyanyi karaoke jamban juga tidak akan membantu membanteras rasuah.Saya tidak akan menjadi penyanyi bukan kerana suara saya tidak semerdu Jamal Abdillah tetapi kerana banyak bencana telah berlaku ke atas penyanyi.Ianya mungkin akan menyebabkan bonda saya cepat mendapat penyakit jantung.

Saya tidak membaca majalah URtv atau URradio tetapi hanya membaca surat khabar sahaja.Kebelakangan ini saya telah membaca kisah dari para penyanyi kita.Mereka telah pun mengeluarkan suara menyuarakan rasa ketidakpuasahan hati terhadap industri nyanyian.Sama seperti saya menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap rasuah yang merebak di dalam negara.

Penyanyi di Malaysia kini menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap dua perkara yang berkaitan dengan sebuah negara.Pertama mereka tidak berpuashati dengan tindakan radio-radio di Malaysia yang selalu memutarkan lagu-lagu penyanyi Indonesia, saya ulang Indonesia.Kedua, mereka tidak berpuashati dengan promoter-promoter yang banyak memberikan peluang kepada penyanyi Indonesia masuk ke pasaran Malaysia.Kata mereka dengan kedatangan warga Indonesia ini telah menyekat periuk nasi mereka.

Saya berasa sungguh kasihan terhadap negara jiran ini iaitu Indonesia.Indonesia ini adalah sebuah negara yang serumpun yang datang dari susur galur melayu yang sama, yang sama seperti kita bezanya mereka adalah sebuah negara miskin ya lebih miskin dari kita.Kita selalu menjadikan Indonesia sebagai ancaman yang sangat berbahaya. Terutamanya pendatang Indonesia yang datang ke sini samaada secara halal atau tidak halal.Mereka selalu digambarkan sebagai penjahat dan pengancam keselamatan.

Kedatangan mereka kesini adalah untuk mencari rezeki kerana di negara mereka kurang peluang pekerjaan berbanding dengan negara kita.Mereka datang dari keluarga yang miskin dan sangat miskin.Dari mana saya mendapat maklumat ini? Saya mempunyai pengalaman bekerja dengan beratus-ratus pendatang dari negara asing Indonesia, Vietnam, India mahupun Bangladesh.. Mereka datang ke sini bergolok bergadai.Ada yang menjual lembu, kambing, tanah malahan anak itik serati sekalipun akan dilelong untuk mencari makan disini.

Apabila sampai di Malaysia ada diantara mereka yang menjadi pencuri, perompak, perampok tetapi kita jangan lupa ada ramai juga yang baik-baik.Malangnya kita telah menjadikan mereka ini sebagai ancaman yang sangat dasyat.Lebih dasyat dari penyangak yang menyangak berjuta-juta duit rakyat negara ini.

Kini tiba pula masanya kita menjadikan penyanyi Indonesia yang kedatangannya secara sah dan halal untuk mencari rezeki di Malaysia sebagai ancaman.Penyanyi kita telah mengamuk dan menibai beberapa pihak kerana telah memberi laluan kepada penyanyi Indonesia mendominasi pasaran tempatan.Habis sumpah seranah dihamburkan.Ianya berpunca daripada tanggapan bahawa peminat muzik kini lebih menyukai penyanyi Indonesia berbanding Malaysia.Jika penyanyi Indonesia mengadakan konsert ramai yang akan hadir.Jika mereka keluarkan album baru album mereka akan laku.Dengan fenomena ini stesen radio banyak menyiarkan lagu-lagu penyanyi seberang.Indonesia sekali lagi mengancam kedamaian kita di bumi bertuah. Sebagai balasannya kita perlu menyekat kemasukan lagu mahupun artis Indonesia ke Malaysia. Malang sungguh nasibmu wahai Indonesia.Sudahlah semua malapetaka bertandang di negara sendiri, hendak menumpang tuah di bumi bertuah kepunyaan saudara sendiri pun warga Indonesia ini telah disumpah seranah.

Nanti dulu, kepada penggiat muzik Malaysia saya mencadangkan agar berfikirlah secara rasional sedikit.Kita perlulah menerima hakikat bahawa muzik kita telah tidak mendapat tempat lagi di kalangan peminat muzik tempatan.Adakah dengan menyekat kedatangan karya-karya dari Indonesia ini akan menyebabkan muzik kita menjadi maju seratus tahun ke hadapan? Adakah dengan menyekat karya-karya Indonesia ini jualan album penyanyi kita dapat mengalahkan Boney M? Cet!!Jangan mimpilah.

Sebenarnya muzik juga adalah satu industri yang terbentuk berasaskan ekonomi.Ekonomi ini dalam bahasa mudahnya ialah satu aktiviti yang dilakukan untuk mendapatkan hasil atau keuntungan.Jadi setiap produk yang dikeluarkan adalah berdasarkan permintaan.Jika tiada permintaan maka sia-sialah sahaja produk yang dikeluarkan itu.Jadi produk yang dapat menawarkan kelebihan akan dibeli oleh pengguna.Setiap produk yang dikeluarkan akan bersaing dengan produk yang berada dalam kelas yang sama untuk memenangi hati pengguna.Jadi dalam indutri muzik tempatan kini telah wujudnya persaingan di antara kita dan Indonesia.Kita telah kalah dalam persaingan ini kerana menawarkan muzik yang tidak memenangi hati peminat muzik.Cara mengatasi masalah ini begitu mudah.Haramkan sahaja muzik Indonesia.

Saya sebagai warga yang bertanggungjawab ingin mengajak penggiat seni agar mencari satu jalan penyelesaian yang waras.Jangan hanya tahu menibai situ sana sini sahaja.Pada hemat saya cara mengatasinya ialah bukan dengan cara menyekat rezeki orang lain.Jadilah warga yang lebih waras.Jadikan sahaja kita lebih kompetitif di dalam pasaran dengan meningkatkan kualiti muzik kita.

Saya tidak mempunyai sebarang sentimen terhadap Indonesia.Saya tidak mempunyai sebarang sentimen terhadap Bung Karno, Amien Rais, Joko Suprianto termasuklah Bunga Citra Lestari.Tetapi saya cukup sedar ancaman sebenar negara kita ialah rasuah yang dalam diam-diam sedang merompak wang saya.Inul Daratista tidak pernah merompak wang saya.Bukan Inul Daratista ya Inul Daratista!!!

Thursday, October 4, 2007

Kisah Hantu Purdah


Semasa saya masih bersekolah di peringkat menengah rendah saya telah menjadi seorang yang penakut.Sifat penakut yang terbentuk semasa itu bukanlah secara tiba-tiba ataupun anugerah dari ilahi tetapi ianya telah melalui proses-proses yang telah dirancang.Rancangan untuk menjadikan saya penakut ini adalah satu taktik kotor yang jahat kerana itu saya tiada sifat keberanian untuk menempuh pancaroba zaman kanak-kanak.

Ketika saya berumur tiga belas dan empat belas tahun iaitu di dalam tingkatan satu dan dua, saya hanya tinggal seorang diri di rumah.Ini adalah kerana saya bersekolah di waktu petang manakala ayahanda dan bonda saya telah keluar bekerja di waktu pagi juga dengan adik beradik yang lain mereka bersekolah di waktu pagi.

Saya telah merayakan keseronokan zaman kanak-kanak saya yang penuh warna-warni.Pagi-pagi lagi saya akan keluar ke rumah kawan-kawan untuk bermain dan merambu keliling taman.Keadaan di waktu pagi ketika itu sungguh sunyi kerana ramai penduduk di situ keluar bekerja.Paling tidak setiap pagi saya akan menunggu di dalam garaj rumah untuk menangkap surat khabar yang dicampak oleh Uncle Bala dengan motor Honda Cup C70 .Kemudian saya akan bersiap untuk ke sekolah dan ketika itulah bonda saya akan menelefon menanyakan keadaan saya telah selamat atau tidak.Semasa menunggu kedatangan bas sekolah itulah saya berpeluang menakut-nakutkan pelajar fardhu ain Tadika Abim yang lalu lalang jalan kecil sebelah rumah.Kanak-kanak itu berjaya saya takutkan.Bas yang saya naiki itu pula adalah bas dalam kategori zaman pra-sejarah yang sungguh hodoh rupa bentuknya, lahiriah dan batiniah.

Suatu ketika, kawasan perumahan saya yang aman damai itu telah di gemparkan dengan kedatangan hantu purdah yang berjantinakan perempuan dimana jika mengikut cerita ia bersama pemandunya menaiki Perodua Rusa berwarna merah akan berlegar-legar mencari mangsa.Apabila berjumpa dengan mangsa yang terdiri dari anak teruna dan gadis sunti, Si Hantu Purdah ini akan membuka purdah dan menunjukkan mukanya yang dipenuhi ulat dan akan menghisap darah mangsa dengan harapan mukanya akan kembali cantik sedia kala seperti Fasha Sanda.Cerita ini terus tersebar hingga ke merata tempat.

Makcik-makcik yang menjadi ahli mesyuarat longkang *ahli mesyuarat longkang merujuk kepada makcik yang akan bertenggek di tepi longkang untuk mengumpat sambil makan buah ceri dan boleh dijumpai dihadapan rumah saya sehingga kini* terus-terusan bercerita dan saya menjadi takut.Saya percaya jika saya ditangkap oleh Si Hantu Purdah ini pastinya makcik-makcik ahli mesyuarat longkang ini tidak akan membantu dan mempedulikan saya.Walhal saya hanya tinggal berseorangan di rumah..Lebih menakutkan lagi cerita yang telah sampai ke telinga saya bahawasanya Si Hantu Purdah ini boleh memasuki sesebuah rumah atau tempat hanya melalui lubang angin sahaja.Kerana katakutan saya telah cuba menutup segala lubang angin yang ada di dalam rumah menggunakan kain batik.Tetapi gagal kerana terlalu banyak lubang angin yang ada.Bonda saya tidak ambil peduli katanya ini hanyalah satu cerita dongeng.Dia telah bertanya kepada saya kenapa Si Hantu Purdah ini tidak ke Klinik Rosli yang berdekatan untuk merawat mukanya? Namun persoalan itu tidak dapat saya jawab yang saya tahu hanyalah ketakutan telah menular di dalam hidup saya.Rupa-rupanya bukan saya sahaja yang menjadi takut tetapi kesemua kanak-kanak yang lain turut ikut serta menyertai saya menjadi penakut.Maka dengan propaganda ini telah berjaya menakut-nakutkan kami dalam kategori kanak-kanak.Tiada lagi kedengaran kanak-kanak keluar malam atau keluar tanpa pengawasan ibu dan bapa kerana khuatir darah mereka akan dihisap oleh si Hantu Purdah yang mengamalkan susuk untuk kelihatan cantik.

Baru-baru ini apabila saya membaca akhbar saya telah terbaca mengenai seorang kanak-kanak yang telah hilang dan akhirnya dijumpai mati dibunuh dengan kejam.Pada mulanya kanak-kanak ini dipercayai telah pergi ke pasar malam seorang diri untuk membeli-belah.Tetapi akhirnya telah mati dibunuh.Saya turut sedih dan simpati dengan keluarga mangsa.Kesedihan saya ini bukanlah dibuat-buat tetapi datang dari hati yang ikhlas.Ini kerana saya pernah kematian kucing kesayangan dilanggar kereta, saya menjadi begitu sedih.Inikan pula seorang ayah kematian anak pastinya kesedihan itu beribu kali ganda.Saya pasti.

Begitu ramai orang menceritakan mengenai kematian kanak-kanak ini pernahkah kita terfikir mengapa kejadian ini berlaku? Adakah kerana Hantu Purdah sudah mati dan dengan kematian Hantu Purdah ini makan kanak-kanak zaman kini sudah berani keluar malam? Sebenarnya kes begini sudah banyak kali berlaku di dalam negara kita Cuma kita sahaja yang tidak mengambil iktibar dari kejadian-kejadian yang berlaku.Pada hemat saya kejadian ini berlaku adalah kerana kegagalan kita untuk memahami hukum alam dan kegagalan kita untuk mengawasi dan memahami tingkah-laku kanak-kanak.Kegagalan inilah yang menjadi penyebab terjadinya kejadian malapetaka ini.Berbagai reaksi saya dengar dimana mereka inginkan polis menangkap penjenayah secepat mungkin dan menghukum penjenayah.Apakah mereka fikir polis ini ingin menangkap pencuri kasut di masjid?

Apa yang perlu kita lakukan kini ialah bukan menangkap penjenayah tersebut, itu adalah kerja polis, yang perlu dilakukan dengan cepat oleh kita ialah meningkatkan pengawasan dan memahami terhadap tingkah-laku kanak-kanak ini.Saya pernah menjadi kanak-kanak dan saya tahu betapa sukarnya bonda saya menjaga, mengawal dan mengawasi saya.Tetapi adakah dengan kesukarannya itu menyebabkan kita akan terus membiarkan kanak-kanak ini menjadi mangsa?

Mari kita lihat sebentar, setiap tahun negara ini akan menghadapi banjir dan setiap kali banjir juga kanak-kanak akan mati lemas.Kanak-kanak yang mati lemas ini bukanlah mati kerana rumah mereka dinaiki air tetapi kerana mereka bermain air.Begitu juga dengan musim perayaan, setahun sekali kita akan menyambut hari raya, dan setiap kali itu juga kanak-kanak akan putus tangan, buta mati dan cedera teruk dibaham mercun.Saya melihat kita tidak pernah mengambil iktibar di atas setiap malapetaka yang berlaku tetapi menunggu saban tahun malapetaka itu datang menjemput kita.Jika tidak percaya, marilah kita melihat akhbar setiap hari mulai hari ini untuk melihat korban mercun ini.Saya pernah juga mendengar mengenai seorang kanak-kanak 3 tahun telah dilanggar oleh Mat Rempit kerana melintas jalan tidak memandang ke kiri-kanan-kiri.Di manakah pengawasan dari ibubapa mereka?

Baru-baru ini di waktu petang ketika menunggu waktu berbuka puasa saya telah tertidur, sebenarnya saya memang merancang untuk tidur dan memang tidurlah menjadi kerja sambilan saya.Sedang saya menikmati kerja sambilan itu, saya telah dikejutkan dengan jiran tetangga mengetuk rumah.Dia kelihatan sangat panik, saya fikir dia terkena renjatan elektrik.Rupa-rupanya dia hanya ingin memberitahu ada orang telah melanggar kereta saya.Saya yang masih terkebil-kebil terus bergegas turun kebawah dari tingkat empat.Apabila sampai kebawah saya melihat plat kereta hadapan telah ranap sama sekali dan beberapa kesan calar kelihatan di bahagian depan kereta.Beberapa ketika, seorang tua datang sambil ketawa dan memberitahu anaknya adalah insan yang bertanggungjawab melakukan kerja terkutuk itu.Tanpa pohonan maaf dia hanya ketawa dan memberitahu yang anaknya itu golongan istimewa atau dengan kata lain terencat akal berumur 9 tahun telah mengambil kunci kereta dan cuba memandu kereta tersebut.Dia berjanji akan menggantikan kembali plat kereta saya yang telah musnah.

Saya mula ragu-ragu mengenai cerita orang tua hangkoi ini, saya ragu-ragu samaada anaknya yang terencat akal atau akal orang tua hangkoi ini yang terencat.Dia hanya ketawa untuk menyembunyikan kegagalannya mengawasi seorang budak berusia 9 tahun.Dalam masa yang sama datang seorang pemandu van ambulan yang isterinya seorang cikgu cantik beranak dua memberitahu dia sudah lama ingin ‘pelangkong’ kepala orang tua hangkoi itu.Saya terkejut lalu dia menunjukkan motorsikal dia juga telah tertonggeng jatuh di langgar anaknya orang tua hangkoi tadi.Petang ini saya ingin menuntut ganti rugi kereta saya kepada orang tua hangkoi itu.Jika tidak saya pula yang akan melanggar plat keretanya sehingga musnah dengan alasan saya telah menjadi seorang yang terencat akal kerana berjangkit dengannya.

Melalui beberapa peristiwa yang berlaku ini iaitu selepas sebelas tahun berlalu barulah saya faham kenapa cerita Hantu Purdah mukanya berulat mencari mangsa dengan menghisap darah ini muncul.Cerita seram yang cuba memandulkan keberanian saya ini telah direkayasa oleh mereka yang telah gagal mengawasi anak-anak mereka dan mereka juga telah gagal memahami hukum alam.Mereka beranggapan dengan adanya cerita seram itu dapat mengurangkan tingkah-laku tidak terkawal anak-anak mereka.Di kesempatan bulan yang mulia ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hantu Purdah kerana telah berjaya menghalang saya dari pergi ke pasar malam seorang diri.Kini saya tidak lagi takutkan Hantu Purdah.

Jika ditanya mengenai harapan, ya saya mempunyai harapan untuk negara ini.Harapan untuk melihat negara saya aman damai seperti kawasan kediaman saya suatu ketika dulu.Al-Fatihah untuk si mati semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.Amin.

Tuesday, September 18, 2007

Bahasa Jiwa Bangsa


Baru-baru ini saya telah menonton satu anugerah muzik anjuran stesen radio swasta.Kononnya stesen ini adalah stesen nombor satu di Malaysia dan menjadi pilihan pendengar diseluruh pelusuk negara.Maka semasa rangka promosi, diadakan pertandingan dimana pemenang yang memenangi pertandingan akan berada di pentas hadapan menyaksikan anugerah gilang gemilang itu.Pemenang ini ditempatkan di dalam satu kawasan khas untuk mereka bersorak sorai menjerit dan terlolong apabila artis membuat persembahan.

Apabila melihat gelagat mereka ini saya terus terbayangkan monyet yang terkinja-kinja di dalam sangkar apabila melihat sesikat pisang yang berada di luar sangkar di Zoo Taman Teruntum.Saya hanya membayangkan sahaja bukan mengatakan mereka dari spesis itu.Mungkin melalui perlakuan inilah Darwin mengatakan manusia itu berasal dari beruk.Beruk dan monyet tiada banyak bezanya.

Tetapi saya bukan ingin bersurah mengenai Darwin, beruk atau monyet.Tetapi mengenai seorang Cina yang telah memporak-perandakan, merosakkan dan menjahanamkan bahasa ibunda saya.Lalu saya telah menjadi marah bukan kepalang.Kejelekan melihat manusia terkinja-kinja mengikut irama dan lagu semakin meluap-luap apabila si Cina ini merosakkan bahasa saya, Bahasa Ibunda saya.

Di dalam anugerah itu, Anugerah Artis Inggeris Tempatan Pilihan telah dimenangi oleh seorang Cina yang mahu dikenali sebagai Point Blanc dengan lagunya “Ipoh Mali”.Perkataan Ipoh Mali ini telah menyebabkan saya marah.Saya yakin perkataan ini sebenarnya adalah perkataan Ipoh Mari yang membawa pengertian datang dari Ipoh

Saya ingin bertanya kepada Pemuda Cina Point Blanc ini apakah motif sebenar dia mencinakan bahasa ibunda saya? Apakah haknya menukarkan struktur ayat ini dan apakah pangkatnya untuk menukarkan huruf R kepada L? Pencemaran bahasa ini seharusnya diambil berat oleh warga kita.Saya tidak pernah mencemarkan Bahasa Cina, Tamil mahupun bahasa lain di dunia ini, tetapi mengapa bahasa ibunda saya ini dijahanamkan oleh si keparat Point Blanc ini?

Lebih dramatik lagi apabila orang melayu yang terkinja-kinja di bawah tadi bertambah berahi untuk lebih terkinja-kinja lagi setelah mendengar nama Point Blanc ini memenangi anugerah itu.Apa ertinya kemerdekaan ini jika bahasa kita dijahanamkan dan kita turut sama merayakannya. Kalau duhulu cerita Pak Kadok “Menang sorak kampung tergadai” kini orang menang kita terkinja-kinja bahasa melayu jahanam kita turut meraikannya.Dimanakah hilangnya semangat nasionalisme?

Kepada Point Blanc jangan bimbang saya tidak akan merosakkan bahasa ibunda anda tetapi ingat "Kerana Pulut Santan Binasa Kerana Mulut Badan Binasa.Bahasa Jiwa Bangsa.”Do unto others as you would have others do unto you.Terima Kasih.

Selamat Menyambut Kemerdekaan yang ke **




Saya dengan sukacitanya ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan kepada seluruh warga Malaysia.Saya turut berbangga kerana kita telah berjaya membebaskan diri dari penjajah asing yang suatu ketika dulu datang ke Tanah Melayu ini untuk mengaut kekayaan negeri, merompak khazanah negara tetapi membiarkan rakyat pada ketika itu terus terusan melarat miskin papa kedana.Apa yang boleh diharapkan kepada penjajah keparat untuk membela untung nasib orang melayu hanyalah seperti baring diatas jalan sambil menunggu digelek oleh “Tandem Roller”. .”Negara Kaya tetapi Rakyat Papa Kedana”.

Saya tidak mempunyai minat lagi untuk menceritakan mengenai sejarah perjuangan tokoh-tokoh menuntut kemerdekaan kerana hampir kesemua kita amat mengetahuinya. Tetapi apa yang ingin saya surahkan disini ialah mengenai fakta dan angka.

PERSEKUTUAN TANAH MELAYU telah merdeka pada tahun 31 OGOS 1957, iaitu kemerdekaan yang hanya melibatkan Semenanjung Tanah Melayu sahaja.Tetapi kawasan-kawasan lain yang berada bersebelahan dengan Persekutuan Tanah Melayu masih belum merdeka dan masih dikuasai British.Bagi membebaskan rantau ini daripada penjajahan British dan pengaruh komunis satu cadangan telah dikemukakan untuk membentuk gagasan Persekutuan Malaysia iaitu cadangan penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei.Maka terbentuklah MALAYSIA gabungan diantara Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 SEPTEMBER 1963.

Persoalannya ialah sebetulnya pada tarikh manakah pengiraan kemerdekaan MALAYSIA ini sebenarnya bermula? 31 Ogos 1957 atau 16 September 1963?

Monday, September 17, 2007

Antara Kepercayaan Dan Khurafat


Ketika ini saya sedang mengikuti dengan kusyuknya pertandingan Piala Asia yang sedang berlangsung di Asia Tenggara dan negara saya Malaysia telah menjadi tuan rumah.Dengan kekusyukkan ini saya tidak mahu diganggu dan dikacau walau seminit pun.Tetapi saya tetap diganggu jua walaupun telah meletakkan tanda amaran.

Sejak akhir-akhir ini kehidupan saya telah diganggu walaupun saya telah beberapa kali menyatakan kepada mereka bahawa saya bukanlah jurulatih pasukan bola sepak Malaysia jauh sekali Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia.Tetapi mereka terus berdegil mengganggu saya.Saya telah meletakkan punca gangguan ini kepada dua buah negara yang harus bertanggungjawab iaitu China dan Uzbekistan.Dua buah negara inilah menjadi dalang dan punca saya diganggu dan mereka harus bertanggungjawab.

Ramai diantara pengganggu ini meluahkan perasan malu, kecewa dan mengatakan mereka terlalu sedih dengan perkembangan dan persembahan bolasepak Malaysia.Mereka juga terpaksa mengambil cuti tambahan kerana malu untuk pergi bekerja apabila terpaksa berhadapan dengan pekerja Indon di kilang mahupun operator pengeluaran dari Vietnam.

Walaubagaimanapun, saya tetap rasa begitu terhibur dengan aksi tangkas pemain kebangsaan dan yang penting mereka telah berjaya membuat lawak sarkis yang sangat menghiburkan.Mungkin selepas ini mereka juga boleh berlakon di dalam sitkom senario jika bakat mereka diasah mulai hari mereka di’ayam’ kan oleh China.Saya cukup terhibur. Saya memang tidak terkejut beruk apabila pemain kita membuat lawak sarkis ketika bermain kerana saya telah lama menduga.

Biarkan saya bersurah panjang mengenai faktor kegagalan pasukan bolasepak Malaysia.Mari kita fikirkan sejenak, jika sesebuah syarikat mengalami kerugian, Tuan empunya syarikat yang harus bertanggungjawab.Jika sebuah sekolah mengalami penurunan prestasi pelajarnya maka pengetua sekolah yang harus dipersalahkan. Pertanyaan kini, jika pasukan bolasepak mengalami kekalahan yang memalukan siapa yang harus bertanggungjawab? Jawapan yang tepat pastinya bukan ahli JKK Kampung atau kontaktor kelas F tetapi Presiden Persatuan Bolasepak itu sendiri.

Pada hemat saya kegagalan bolasepak Malaysia bukan atas dasar faktor saiz pemain kita katik, bola tidak cukup bulat atau kita kekurangan bekalan peluru berpandu.Ini adalah alasan-alasan yang langsung tidak masuk akal. Saya telah menjumpai satu punca mengapakah pasukan bolasepak kita hanyalah seperti pasukan pertunjukan sarkis.

Saya ingin mengambil contoh sebuah Negara Eropah Jerman.Presiden Persekutuan Bolasepak Jerman ini bernama Encik Franz Beckenbauer.Encik Franz Beckenbauer ini telah memenangi Piala Dunia sebanyak dua kali iaitu sebagai pemain dan jurulatih, memenangi beberapa kali Piala Eropah dan pernah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Eropah sebanyak dua kali.Beliau berpengalaman luas di dalam bolasepak dunia maka dengan itu beliau telah menerima watikah perlantikan sebagai Presiden Persekutuan Bola sepak Jerman.

Saya ingin bertanya, siapakah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia? Apakah criteria yang ada padanya sehingga menerima watikah perlantikan? Di Malaysia, siapa yang memegang jawatan di dalam persekutuan sukan?Sebenarnya banyak perkara di Malaysia ini telah dipolitikkan.Ini adalah sebab utama mengapa kita tidak mencapai kemajuan di dalam sukan. Ianya hanyalah dipenuhi dengan ahli-ahli politik sahaja yang tidak berpengetahuan di dalam bidang sukan.Inilah masalah sebenarnya sukan dan bolasepak di Malaysia.

Kita telah tersilap langkah.Kita melantik seseorang ke dalam jawatan yang tidak diketahuinya.Inilah yang perlu diperbetulkan.Kita perlulah menjadi orang yang cerdik sedikit dari menjadi bodoh selalu.Hentikanlah perkara sia-sia ini ianya akan merugikan duit rakyat sahaja.Orang dahulu kala pernah bersurah mengenai menyiram air di daun keladi.Percayalah warga semua kerjaan ini adalah kerjaan sia-sia sahaja. Kepercayaan mengenai orang politik boleh membawa bolasepak kita ke mercu kejayaan adalah kepercayaan yang khurafat.Kepercayaan khurafat ini wajib kita tinggalkan.

Mari kita lakukan hipotesis sekali lagi.Bayangkan, ingat cuba bayangkan sahaja.Jika kita menyuruh seorang tukang kebun menjadi guru sejarah, pasti pelajarnya akan gagal.Jika kita menyuruh pelumba F1 membina sebuah gedung pastinya gedung itu akan runtuh sama sekali.Sedangkan ketam juga tidak mampu mengajar anaknya berjalan dengan betul.Ini bermakna jika kita melantik seseorang yang bukan ahli atau pakar di dalam sesuatu bidang sama-samalah kita tunggu kehancurannya.Malangnya kita di Malaysia kini tidak lagi menunggu tetapi sedang menerima bencana ini menimpa batang hidung kita.

Saya telah ketawa berdekah-dekah apabila membaca berita mengenai seorang pengkritik bola sepak yang mengatakan pemain kebangsaan bermain seperti robot dan seperti biasa Pegawai Persatuan Bolasepak mengatakan ini satu penghinaan kepada pemain bola sepak kita.Saya ingin bertanya kepada pegawai ini.Adakah membuat lawak sarkis di dalam pertandingan Piala Asia ini adalah perkara yang anda anggap sungguh mulia?

Saya ingin sarankan kepada semua ahli politik.Anda seharusnya menumpukan kepada bidang politik sahaja tidak perlulah mencampuri urusan lain yang diluar bidang anda.Anda mempunyai kemampuan yang terbatas.Sudah-sudahlah, letak sahaja jawatan.Berikan sahaja kepada yang berhak.

Kita masih lagi mempunyai ramai pemain bola sepak yang pernah melalui zaman kegemilangan untuk sama-sama mengembleng tenaga dan daya fikrah bagi meningkatkan martabat bola sepak kita.Berikan sahaja peluang ini kepada mereka kerana mereka sahajalah yang mengetahui apa yang ada di dalam bolasepak.

Kita tidak memerlukan Carlos Alberto Perreira, Mario Zagallo mahupun Rafa Benitez tetapi memerlukan sedikit ruang kebebasan untuk tidak mengikut kehendak ahli politik.Sejarah telah mencatatkan apa yang berlaku.Sesiapa sahaja jurulatih yang menjadi jurulatih pasukan Malaysia akan tetap gagal.

Saya pasti selepas ini akan ada yang kekosongan jawatan di dalam badan induk ini kerana beberapa ahlinya akan cabut lari dan saya juga pasti ahli politik yang lain pula akan berebut jawatan kosong yang ada.Selagi budaya ini masih berlaku, kita tidak akan kemana-mana.Kita akan masih disini walaupun orang lain sudah sampai ke bulan.

Kepada ahli politik ini saya ingin ingatkan bahawa pilihanraya sudah menjelang tiba.Tumpukan sahaja perhatian untuk meraih undi.Jangan biarkan tamadun bolasepak Malaysia runtuh sama seperti kota Baghdad dan Fallujah.

Monday, June 18, 2007

Cerdik Tak Dapat Diikut, Bodoh Tak Dapat Diajar


Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan berita mengenai kebocoran.Sungguh banyak sekali kebocoran yang melanda negara.Saban hari kes-kes kebocoran mula menular ke seluruh pelusuk tanah air.Warga kita juga sudah memandang kes ini secara serius bukan main-main lagi terutamanya kaum wanita.

Kebocoran yang disurahkan saya disini ialah mengenai air yang mengalir melalui paip di dalam bangunan telah terlepas keluar.Jadi air yang keluar ini dinamakan kebocoran.Setelah begitu banyak kebocoran berlaku maka isu ini mejadi begitu hangat diperdebatkan.

Tetapi perkara ini langsung tidak menimbulkan kehairanan kepada saya.Ini adalah kerana kebocoran ini telah lama saya jumpai dan bukanlah baru beberapa minggu lepas.Cuma secara kebetulan isu ini tiba-tiba menjadi sebutan di setiap bibir warga kita.Adakah ini bermakna warga kita baru sahaja menyedari bahawa kebocoran itu adalah satu bencana yang menimpa batang tubuh mereka? atau adakah ini juga bermakna warga kita sudah mulai cerdik dan berjaya membuka mata dengan lebih besar walaupun dilahirkan tidaklah sepet?

Jawapannya mudah sahaja kerana ia telah didebatkan di dalam Parlimen Malaysia, kebocoran melibatkan bangunan Parlimen Malaysia dan telah menyentuh mengenai sensitiviti wanita.Ceritanya begini, seorang ahli parlimen wanita menyentuh mengenai kebocoran yang telah melanda negara ini telah dijawab secara tidak berhemah oleh seorang ahli parlimen lelaki.Ahli parlimen lelaki ini menjawab bahawa ahli Parlimen itu juga mengalami kebocoran setiap bulan *merujuk kepada masalah wanita yang datang bulan*.

Melalui peristiwa ini saya mendapati bahawa kebocoran ini tidak langsung menghairankan ahli parlimen lelaki tersebut dan ini bukanlah masalah negara yang perlu dipikul dan diperbetulkan.Ini baginya hanyalah masalah kecil sahaja, malahan dianggapnya sama sahaja dengan masalah bulanan wanita.

Tetapi sebagai warga yang bertanggungjawab adakah ini jawapan yang paling waras? Adakah kita juga perlu berfikiran sama seperti ahli parlimen lelaki ini? Kehairanan saya mengenai kebocoran telah lama lenyap tetapi kehairanan baru telah timbul.Saya mula was-was mengenai keupayaan fikrah ahli parlimen lelaki ini.Apakah kaitan antara kebocoran bangunan yang menelan belanja jutaan ringgit dengan wanita yang datang bulan? Minggu demi minggu saya mencari perkaitannya, malangnya tidak dijumpai.

Bagaimanapun melalui pencarian saya ini ada kesinambungan yang dijumpai.Sebenarnya setiap jawapan yang diberi oleh setiap warga adalah berkaitan dengan keupayaan fikrah berfikir dengan baik dan bagaimana setiap warga itu bijak mengawal emosi.Tetapi jika jawapan yang diberikan seperti ini, ia hanyalah layak menjadi tukang karut dalam permainan wayang kulit.Alangkah malangnya setiap warga kawasan yang diwakili oleh ahli parlimen lelaki ini.Akhirnya ahli parlimen ini telah bergambar di muka depan surat khabar memohon maaf kepada semua wanita di Malaysia.

Saya ingin bersurah sedikit mengenai cara menjawab soalan.Untuk menjawab soalan kita tidak memerlukan tempurung kepala lutut jauh sekali duit berkepuk-kepuk tetapi hanyalah kepala otak.Untuk lebih menunjukkan kita ini sebagai warga yang bertanggungjawab, kepala otak kita ini wajiblah bermentaliti kelas satu.

Mentaliti kelas satu ini bukanlah sebuah cerita dongeng rakyat yang boleh diwayang kulitkan oleh tukang karut.Ianya adalah satu pemikiran yang menjadi satu teras dan juga misi nasional untuk masa hadapan bangsa untuk lebih gemilang.

Antara perkara wajib yang berkaitan dengan mentaliti kelas satu ini ialah minda merdeka, sikap dan perwatakan yang baik, nilai murni, berbudi pekerti, budaya berprestasi tinggi dan keluhuran peribadi.Jika pemikiran kita masih belum merdeka dan masih membayangkan sikap samseng kampong dusun yang bertanding di dalam pertandingan sumo, kita telah tersilap.

Saya sebagai warga yang bertanggungjawab berasa sungguh malu dengan kejadian ini.Ianya dapat dilihat dan dinilai sebagai tiada keseimbangan moral yang baik dari pemimpin sedangkan kita diwar-warkan dengan slogan ‘kepimpinan melalui teladan’.Saya fikir ahli parlimen ini perlu sedar diri bahawa negeri ini bukanlah Syarikat Sendirian Berhad miliknya tetapi tuannya adalah rakyat yang perlu diutamakan.

Suatu ketika dahulu saya telah melihat rakaman di parlimen melalui sebuah stesen televisyen terunggul negara mengenai ahli parlimen yang berucap berapi-api meminta seorang penyanyi rock yang telah tersilap melodi menyanyikan lagu negaraku di dalam sebuah pertandingan sukan dicampakkan ke dalam laut.Kali ini dia tidak pula meminta mana-mana pihak mencampakkan ahli parlimen ke dalam laut.Tetapi tidak mengapalah, biarlah saya sahaja yang menyarankan penyanyi rock itu membakulsampahkan orang ini dengan mencampak ke dalam tangki Indah Water Konsortium kerana saya mempunyai rakan karib yang bekerja di sana.

Thursday, May 3, 2007

Kisah Encik Ahmadinejad, Arwah Saddam & Tiga Ekor Malaun


Beberapa hari yang lalu saya membaca akhbar lagi.Ada satu berita yang telah menarik minat saya iaitu Soldadu Iran telah berjaya menangkap hidup-hidup soldadu Britain.Seramai 15 orang malaun berjaya ditangkap oleh Soldadu Iran.Penangkapan ini sungguh membanggakan Rakyat Iran dan Presiden Encik Ahmadinejad serta saya juga. Soldadu Britain ini ditangkap adalah kerana mereka telah memasuki perairan Iran.

Pada hemat saya, kemasukan Soldadu Britain ini adalah dirancang dan penangkapan mereka juga telah di aturkan oleh pihak Britain.Tunggu sebentar! Adakah masuk akal Soldadu Britain yang menggunakan teknologi perang paling canggih dalam dunia moden hari ini telah terlajak kayuh perahu sehingga memasuki Iran atau tukang kayuh perahu Soldadu Britain ini terlupa untuk memakai kanta lekap atau tukang kayuh perahu ini telah dibutakan matanya oleh Puan Margaret Beckett? Saya telah terbarai ketawa.Hati saya bagaikan digeletek manja apabila mendengar berita perahu terlajak ini.

Saya akan bersurah dengan lebih jelas, sila berikan perhatian.Ini adalah persepsi saya sahaja diatas apa yang berlaku.Sebenarnya konflik Britain dengan Iran ini didalangi oleh Amerika dan Israel.Britain ini peranannya sebagai kuli cacai sahaja.Selepas ini akan ada kejadian-kejadian yang akan menggugat kestabilan Iran.Kejadian-kejadian ini adalah untuk menguji kesabaran Encik Ahmadinejad sahaja.Kejadian-kejadian ini akan berlaku sehinggalah Iran bertindak balas.Melalui tindak balas Iran inilah peperangan untuk menjahanamkan Iran akan berlaku.Buktinya, selepas beberapa hari malaun-malaun ini ditangkap, pesawat perang Amerika pula menceroboh ruang udara Iran di wilayah Khuzestan yang kaya dengan minyak itu.

Tiga malaun iaitu Encik Bush, Encik Tony Blair dan Encik Ehud Olmet sudah tidak sabar lagi untuk menyerang Iran.Jika sesuatu yang buruk berlaku ke atas tahanan dan pesawat perang yang memasuki kawasan Iran ini, pastinya Iran akan menerima padah seperti Iraq dan Afghanistan.

Nanti dulu, mengapakah agaknya malaun-malaun ini beria-ia ingin menyerang Iran sedangkan Encik Ahmadinejad tidak pernah sekalipun cuba mengorat Puan Laura Bush atau menjolok lubang hidung Encik Tony Blair?

Sebenarnya ketika ini Iran sedang mengancam kekuatan ekonomi Amerika.Encik Ahmadinejad kini sedang sibuk mengadakan rundingan dengan negara pengeluar minyak. Minyak adalah sumber yang paling penting di dunia ketika ini.Apakah jenis rundingan ini? Rundingan untuk tidak menggunakan Dolar Amerika di dalam urusniaga minyak.Ini bermakna urusniaga ini tidak lagi bersandarkan Dolar Amerika.Selama ini urusniaga minyak ini telah menggunakan Dolar Amerika.Jika urusniaga ini tidak lagi menggunakan Dolar Amerika, impaknya kekuasaan Amerika keatas muka bumi ini juga akan berkurangan.Rundingan ini telahpun dipersetujui oleh Presiden Venezuela Encik Hugo Chavez.Venezuela juga adalah negara pengeluar minyak.

Jika kuasa Amerika ini berkurangan, ini bermakna si malaun Bush ini tidak lagi dapat menguasai dunia.Dia tidaklah dapat lagi berlagak menjadi Ketua Polis Dunia tetapi mungkin akan dianggap sebagai Chief Inspector di negeri Mumbai sahaja.Malahan Amerika akan ditongsampahkan hidup-hidup.Ini adalah penyebab mengapa Encik Bush begitu bernafsu ingin menggodam Tehran.

Israel pula mempunyai alasan yang berbeza.Konflik yang berlaku ini berpunca daripada pengembangan konflik Israel-Palestin.Dengan program pengkayaan uranium dan nuklear Iran kini menjadi ancaman Israel.Iran telah dituduh membantu kumpulan penentang di Iraq dan juga membantu Hamas di Palestin.Ini bermakna Iran juga kini adalah musuh Israel.Israel kini telah pun kecut perut apabila mendengar Iran sedang bersiap sedia untuk menjadi sebuah negara nuklear.Jika Iran berjaya dengan program nuklearnya, pasti Israel mampu dilenyapkan dari muka bumi ini dengan mudah.Sebelum Israel lenyap dari muka bumi adalah lebih baik Iran yang dulu dilenyapkan.

Saya ingin memberitahu kepada tiga malaun ini.”Hei Encik Malaun semua!!! Iran bukannya bengap serta berotak udang seperti Pak Arab yang berserban tebal tetapi berotak nipis”.Encik Ahmadinejad ini pastinya telah mengambil iktibar dari peristiwa Arwah Saddam Hussein.Iraq telah jatuh ke tangan Amerika dan sekutunya dalam beberapa hari sahaja.Adakah kerana Arwah Saddam sudah terlalu tua untuk mengangkat senjata? Atau Arwah Taha Yassin Ramadhan telah mengular di waktu pejabat pada waktu itu?

Saya akan bersurah pula mengenai Arwah Saddam.Iraq telah kalah dalam pertempuran ini adalah kerana Iraq tidak mempunyai senjata pemusnah atau nuklear seperti yang telah dituduh oleh tiga malaun tadi.Iraq mampu untuk membina nuklear tetapi telah membatalkan niat suci murni itu adalah kerana tidak mahu lagi terjebak dengan peperangan dengan tiga malaun itu.Arwah Saddam telah membuat keputusan pro-rakyat.
Tiga malaun ini tidak akan menyerang Iraq jika mereka membatalkan pembinaan nuklear.Janji inilah yang dipegang oleh Arwah Saddam.

Namun, akhirnya Iraq telah diserang jua.Pastinya tragedi ini telah membuka mata Encik Ahmadinejad.Mesejnya jelas, jika anda membina senjata nuklear anda akan diserang tetapi jika anda tidak membina senjata nuklear anda juga akan diserang.Encik Ahmadinejad sedang membina nuklear kerana sedar lambat-laun malaun-malaun itu pasti akan menyerang Tehran.

Saya tidak akan membeli tiket penerbangan murah Air Asia untuk ke Tehran.Saya tidak akan memikul kalashnikov untuk membantu Soldadu Iran menangkap malaun-malaun ini, tetapi saya dengan rasminya mengisytiharkan sokongan penuh kepada Encik Ahmadinejad.Bina atau tidak nuklear bukan persoalannya..tetapi perang tetap perang dan lawan tetap lawan… Ini persepsi saya..

Sunday, April 22, 2007

Kisah Di Sebalik Bumi Putera Rockers


Beberapa bulan yang lalu saya telah membaca sebuah akhbar arus perdana.Sambil menyelak beberapa berita utama saya telah dikejutkan dengan satu berita mengenai BPR.BPR atau Kumpulan Bumi Putera Rockers adalah sebuah Kumpulan Rock Melayu Malaysia yang mula dikenali ramai setelah menyertai "Pesta Hiburan Kingsway".Bumi Putera Rockers merupakan sebuah kumpulan pop/hard rock yang berasal dari Johor Baharu.

BPR ini dianggotai oleh 5 orang ahli yang mana asalnya semua berambut panjang. Gabungan dari bekas ahli kumpulan pecahan seperti Titanic, Hurricane, Purple Grass dan Split Times, kumpulan ini diilhamkan oleh Papa Rock Ramli Sarip, dan diurus oleh Wan Redzmann, seorang pelumba kereta terkenal dan bekas pengurus kumpulan Sweet Charity.

Sebenarnya saya tidak berminat untuk bersurah panjang tentang kumpulan rock ini.Pertama kerana kumpulan ini bukanlah sezaman dengan saya dan yang kedua saya sudah mempunyai koleksi ‘killer song’ dari kumpulan ini.

Apa yang ingin disurahkan ialah mengenai satu lagi BPR iaitu Badan Pencegah Rasuah.Saya berasa sangat hairan mengenai hala tuju sebuah BPR di bahagian utara tanah air.Disurahkan di dalam akhbar itu adalah kempen antirasuah BPR ini.

Tidaklah menghairankan jika BPR ini ingin berkempen untuk membasmi rasuah.Tetapi kempennya ini pada hemat saya telah tidak kena pada tempatnya.Dimanakah tempat yang tidak kena itu?

Jangan bimbang, sebelum bersurah panjang saya akan jelaskan disini apakah yang menghairankan saya.BPR ini telah mengadakan satu aktiviti untuk membasmi rasuah.Aktiviti untuk membasmi rasuah ini dinamakan ‘Karnival Mini Selebriti Anti Rasuah’ dan acara-acara yang dikempenkan untuk membasmi rasuah adalah seperti larian selebriti anti rasuah, sukaneka bersama artis, pertandingan bowling selebriti dan malam amal karyawan.

Pada mulanya saya telah terbarai ketawa sehingga mengeluarkan air mata darah.Apakah ini satu lagi lawak senario atau pun lawak dari raja lawak astro yang baru dinobatkan, tidaklah saya pastikan lagi.Kemudian apabila saya habis membaca apa yang ingin disampaikan saya mulai mabuk laut memikirkan perkaitan diantara pembasmian rasuah dengan aktiviti yang dijalankan seperti yang telah disebutkan tadi.Tiga malam saya terbaring sambil memandang ke syiling memikirkan perkaitannya.

Jika kita ingin memasak nasi maka kita perlu membeli beras dan beras itu dibasuh lalu ditanak di dalam periuk nasi maka hasilnya kita akan dapat makan nasi itu.Jika kita ingin membasmi rasuah pula, perlulah kita mengadakannya dengan secara lebih serius dan lebih intelek kerana ini adalah satu aktiviti tidak sihat yang mengancam keselamatan negara pada pandangan ramai.Jadi perlulah diadakan dialog dan agenda untuk timbulkan kesedaran kepada orang ramai dengan memanggil para akademik dan golongan cerdik pandai untuk sama-sama memikirkan bagaimanakah cara terbaik untuk memusnahkan rasuah ini atau kajian demi kajian dibuat di universiti untuk menemui ubat yang paling mujarab atau menyemak kembali akta-akta yang berkaitan dengan rasuah ini.

Cuba kita sama-sama bayangkan apakah rasuah ini akan menurun kadarnya dengan diadakan pertandingan bowling diantara artis-artis atau dengan hanya mengikut sang penyanyi ini bersukaneka berlari sambil membawa bola ping pong di dalam sudu atau dengan pertandingan tarik tali.Adakah perasuah akan menjadi lebih takut setelah melihat warga kita berlari di dalam guni bersama dengan artis.come on lah!! Ternyata ianya seperti sebuah kisah dongeng masyarakat Melayu Purba.Tetapi nanti dulu, saya bukanlah seorang yang memandang serong keatas pekerjaan seorang artis mahupun mencemburui kepopularan itu.Jauh sekali ingin menjadi artis oh tidak! Saya tidak akan menjadi artis semata-mata ingin membasmi rasuah.

Ini bukanlah isu remeh temeh yang boleh dibuat bahan ketawa di kedai kopi di Felda Sungai Mas mahupun Kampung Lubuk Kawah, ini adalah satu isu negara dan mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.Jadi kita sebagai warga perlulah bertanggungjawab diatas apa jua yang kita telah lakukan untuk negara ini.Negara kita tanggungjawab kita.

Jelas sekali saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada kempen anti rasuah ini.Objektif mahupun tujuannya tidak bertepatan dengan perlaksaan.Kita diberikan fikrah yang baik untuk berfikir secara kritis dan kreatif.Di dalam sistem persekolahan ianya dipanggil KBKK iaitu kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.Pelajar telah diajar bagaimana untuk berfikir secara KBKK ini.Ianya bukan sahaja mengajar cara berfikir tetapi jua mengajar untuk berfikir dan mengajar tentang berfikir.

Setelah saya menggunakan fikrah KBKK ini, saya telah dapati program ini semacam ada ketempangan.Benar-benar dan sungguh-sungguh tidak masuk akal.Lebih memilukan saya telah dibaraikan oleh rakan saya yang berada di negeri Kobe ketika bersurah kepadanya tentang perkara ini.

Mengapakah saya begitu bimbang dengan kempen ini? Ya, mari kita lihat indek rasuah di negara kini, berdasarkan CPI 2006 Malaysia menduduki tangga ke 44 dunia berbanding ke 39 untuk 2005 serta 2004; serta tangga ke 37 pada 2003.Begitu juga dari segi peratusan mata yang dicatatkan iaitu 4.9 peratus, merosot jika dibandingkan 5.1 peratus untuk 2005 iaitu 5.0 peratus (2004) atau 5.2 peratus (2003).Ini bermakna rasuah yang berlaku semakin parah.Kita sebagai warga wajib bertanggungjawab.Keparahan ini bukanlah perkara main-main seperti bermain galah panjang atau dam aji.
Walaubagaimanapun disebalik kehairanan saya ini, ada yang lebih menghairankan lagi.Apabila diselidiki senarai artis yang akan melibatkan diri dengan kempen BPR ini tidak tersenarai pun BPR atau kumpulan bumi putera rocker yang berkongsi nama dengan badan ini.Apa yang pasti saya tidak akan berlari di dalam guni sambil membawa bola ping pong untuk menakut-nakutkan perasuah.

Sunday, April 15, 2007

Hikayat Akademi Fantasia


Akademi Fantasia kembali lagi untuk musim yang kelima.Mintak maaf saya bukanlah seorang penyokong totok AF yang akan datang bersepanduk dan menconteng muka dengan warna kesukaan untuk menyokong peserta kegemaran saya ke stadium setiap minggu jauh sekali untuk membuang undi melalui SMS.Jangan haraplah, saya tidak akan berbuat begitu.Tetapi saya juga tidak akan menentang sebarang bentuk program realiti tv ini disebabkan saya pernah menuntut mengenai pengurusan perniagaan yang tahu nilai untung rugi tetapi tidak pula bermakna saya tidak belajar mengenai akidah.

Saya bukan ingin bersurah mengenai pengurusan jauh sekali akidah, tetapi ada sesuatu yang menarik minat saya didalam AF ini.Saya telah melakukan kajian ilmiah mengenai AF ini.Kajian yang saya temui ini bukanlah melalui suara penyanyi kerana kesemua penyanyi yang keluar dari Akademi ini tidaklah sehebat Siti Nurhaliza mahupun Jamal Abdillah.Kajian yang dibuat ini adalah bagaimana hendak menjadi juara AF.

Pada hemat saya kesemua peserta AF ini boleh menyanyi dan keupayaan mereka hampir setara sahaja.Saya ulang pada hemat saya sahaja ini disebabkan saya bukanlah seorang pengamal Muzik atau Paul Moss mahupun Khairil Johari Johar.Jadi bagaimanakah mereka boleh terpilih menjadi juara sedangkan suara mereka lebih kurang sahaja? Sebenarnya disinilah yang ingin saya bersurah panjang.

Untuk menjadi juara di dalam pertandingan realiti tv ini tidaklah perlu bersuara ‘buluh perindu’.Tetapi perlu menjadi seorang melayu.Mengapa? Ini adalah kerana peserta akan dipilih pemenang bukan melalui juri profesional tetapi melalui undian sahaja.

Mereka di luar akan membuat undian melalui pandangan mereka tersendiri.Biarlah saya bersurah dengan lebih teliti.Pakcik dan makcik ini akan mengundi pelajar yang difikirkannya baik dari segi sahsiah, mana yang mereka rasa sedap mata memandang dan yang penting sesuai dibuat menantu maka peserta itulah yang akan dipilihnya.Golongan warga emas pula pasti ingin memilih peserta yang dirasakan sesuai untuk dibuat cucu menantu manakala gadis-gadis sunti akan mengundi peserta yang dirasakan sesuai dibuat pasangan hidup.Begitu jugalah dengan jejaka-jejaka di Malaya ini yang pastinya akan mengundi peserta yang menarik hatinya untuk dilantik menjadi permasuri yang beraja dimata dan bersultan di hati.Pengundi ini ,majoritinya adalah melayu.

Melalui kajian ini, saya tidak berjumpa dengan teori siapa suara paling sedap yang akhirnya akan memang dan membawa pulang hadiah hampir setengah juta ringgit.Jika anda berfikiran sedemikian.Harap maaf anda telah silap besar.

Ramai peserta yang memasuki akademi ini langsung tidak membuat kajian ilmiah terutamanya peserta perempuan.Nanti dulu, janganlah anda naik darah dengan kenyataan saya ini.Ini hanyalah andaian saya sahaja.Tetapi saya mempunyai hujah yang kukuh.Ini dapat dilihat dimana peserta yang masuk kelihatan memperlihatkan sifat supaya pengundi tidak bernafsu untuk mengundi mereka.Mereka tidak memperlihatkan sifat kemelayuan yang sejati.Mengapakah sifat kemelayuan ini penting?Ini adalah kerana pengundi itu Melayu dan memang sifat manusia sukakan orang yang banyak persamaan dengan diri mereka.

Kita dapat melihat ada diantara mereka masih lagi tergedik-gedik dan bersifat mengada-ngada yang lebih sudu dari kuah di depan kamera.Saya juga telah terbarai ketawa apabila ada seorang peserta ini menangis meraung-raung teringatkan kucing di rumah.Jika beginilah sifat dan jatidiri yang dimiliki Warga Malaysia, Oh! Sungguh memalukan.Walaupun demikian itu masih bernasib baik, bagaimana pula jika pelajar itu memelihara mentibang laut?.Bayangkan apa yang berlaku.

Apa yang terjadi hasil dari bersahsiah seperti ini? Mereka pastinya akan ditendang keluar hidup-hidup pada minggu-minggu awal.Ini kerana mereka tidak berjaya menjadi seorang melayu, bermakna mereka tidak berjaya menarik perhatian pengundi.Tidak perlulah saya bersurah panjang mengenai tatacara dan budi bahasa orang melayu kerana kita bukanlah seperti haruan yang tidak mengenal anak sendiri untuk dimakan.

Saya pernah bertanya dengan seorang anak muda sebaya saya mengenai hal ini.Pada hemat si anak muda ini setiap peserta mempunyai hak untuk menonjolkan sifatnya sendiri termasuk memperlihatkan sifat tergedik-gedik dan mengada-ngada.”jangan hipokrit lah brader!!”.ujar beliau.

Pada hemat saya apabila peserta ini dipilih ke dalam akademi yang perlu diberi keutamaan adalah untuk menjadi juara dan menarik perhatian pengundi untuk mengundi dan bersifat baik dan bukannya untuk memperlihatkan sifat buruk sebenar sambil mendabik dada ‘inilah diri saya yang sebenarnya’.Cet, ingat!! anda akan ditendang keluar hidup-hidup.Mudah-mudahan sifat baik ditonjolkan di akademi akan sebati dengan diri dan menjadi amalan selepas itu.

Jadi untuk menjadi juara ini kita tidak perlu berkulit putih, tersusun gigi atau tergedik-gedik.Kita perlu menjadi orang yang berilmu dan pandai menggunakan ilmu itu sebaiknya.Carilah sifat melayu yang ada di dalam diri dan yang pasti juara akademi fantasia juga mampu menjadi menantu yang baik.Tetapi menantu yang terbaik bukanlah boleh dimain undi-undi melalui sms.

Tuesday, April 10, 2007

Senyuman Manis Si Buah Hati di Bawah Pohon Beringin




Pada minggu lalu saya telah berjaya mengubah cara hidup ke arah yang lebih sihat.Saya telah pergi bersenam.Bagi saya kesihatan ini amatlah penting untuk memastikan saya dapat hidup dengan lebih gembira.Sebenarnya ada rahsia disebalik keputusan saya untuk bersenam.

Bersenam ini tidaklah dapat menarik minat saya jika dibandingkan dengan berkaraoke jamban *merujuk kepada aktiviti karaoke di bilik yang kecil*.Tetapi ada yang berjaya menarik minat saya untuk bersenam.Sebenarnya saya telah diajak oleh si buah hati untuk melakukan senaman.Antara alasan popularnya ialah takut-takut nanti saya diserang oleh penyakit obesiti jika terlalu lama berada di dalam karaoke jamban.Saya telah menerima lamaran dari si buah hati saya ini dengan tangan terbuka.Disebabkan itu saya begitu bersemangat untuk bersenam.Jika tidak jangan haraplah.

Sebenarnya selain bersenam saya juga dapat merayakan zaman kemudaan dengan cara lebih sihat bersama si buah hati yang tersayang.Saya telah mengambil keputusan untuk melakukan aktiviti ini di taman rekreasi.Sememangnya taman ini diperuntukkan untuk orang bersenam.

Tetapi apa yang telah mengejutkan saya ialah keadaan fasiliti yang berada di taman di pesisiran pantai itu amatlah mendukacitakan.Taman itu sesungguhnya begitu indah terletak bersebelahan dengan pantai dengan tasik buatan yang agak luas ditemani oleh dua ekor biawak yang sering kelihatan berkeliaran, mempunyai track jogging yang panjang dan mempunyai fasiliti senaman yang lengkap, tetapi fasiliti untuk melakukan senaman di tempat ini telah musnah punah ranah sama sekali.

Adalah amat mustahil jika kemusnahan ini dipertanggungjawabkan kepada Soldadu Amerika yang telah memusnahkan fasiliti senaman di Negeri Baghdad atau mempertanggungjawabkan Tentera Nazi Jerman kerana kedua-dua malaun ini tidak pernah sampai ke taman rekreasi ini mahupun menyalahkan kejadian Gunung Berapi Pinatubo di Filipina kerana tidak sedikitpun lahar gunung ini yang telah mengalir sampai ke taman rekreasi ini.Jadi ini angkara siapa?

Saya begitu pasti kemusnahan ini adalah hasil dari kraf tangan warga kita iaitu Warga Malaysia yang tidak bertanggungjawab.Tidaklah saya dapat memahami tentang orang –orang yang suka menjahanamkan harta benda awam ini.Sedarlah bahawa segala infrastruktur yang dibina ini adalah melalui duit kita semua.Adakah logik bagi kita sebagai orang yang mengeluarkan duit kemudian merosakkan harta benda sendiri yang modalnya kita yang laburkan?

Nanti dulu, jika kita terlalu bengap untuk memahami keadaan ini mari saya jelaskan satu persatu.Fasiliti ini telah dibina oleh kontraktor yang telah dilantik oleh kerajaan.Dari mana kerajaan mendapat duit untuk membina fasiliti seperti ini? Duit ini adalah duit cukai yang dikutip daripada rakyat.Siapakah rakyat itu? Rakyat itu adalah kita sebagai warga.Bukankah ini bermakna fasiliti itu dibina menggunakan wang kita dan kita
adalah tuan yang empunya fasiliti untuk dikongsi bersama? Jadi, mengapakah kita perlu memusnahkan fasiliti ini.Menjahanamkan fasiliti ini samalah seperti kita menjahanamkan harta benda kita sendiri.

Pada hemat saya, tentulah orang yang menjahanamkan fasiliti ini adalah orang yang dikategorikan sebagai berotak udang dan tidak berguna.Ketika ini saya masih runsing memikirkan mengapakah orang-orang yang tidak bertanggungjawab ini suka memusnahkan sesuatu yang amat berguna atau orang orang yang tidak berguna ini juga patut dimusnahkan sama sekali?Adakah mereka tidak suka melihat sesuatu yang baik dan cantik juga?

Melalui soalan-soalan ini fikrah saya semakin bercelaru.Lebih mengecewakan, saya telah terserempak dengan seorang makcik yang sedang memegang anaknya untuk membuang najis di tepi fasiliti yang digunakan untuk bersenam.Walaupun dalam keadaan yang sukar ketika itu, makcik itu masih sempat melemparkan senyuman kepada kami berdua.Saya tertanya-tanya adakah senyuman dari makcik itu adalah satu sedekah ataupun tanda-tanda ia mahu disumpah menjadi batu?

Fokus saya untuk bersenam menghindarkan diri dari obesiti telah lama tersasar.Setelah penat saya dan si buah hati mengambil keputusan untuk berehat di bawah pohon beringin di tepi laut.Sekali lagi saya ditimpa malang, kawasan ini berselerak dengan sampah.

Sebenarnya saya mempunyai cerita disebalik sampah ini.Ketika itu umur saya mula-mula menginjak remaja.Bersama kawan-kawan, kami telah ke Kuala Lumpur untuk merayakan keremajaan kami.Kami berkereta kancil berwarna biru versi lampu bulat.Kami bertolak petang mudah-mudahan akan sampai ke Kuala Lumpur nanti di tengah malam hari.Kami berkongsi duit untuk membayar tol,minyak dan makan.

Oleh kerana tidak cukup duit kami hanya membeli kacang untuk berkongsi makan di dalam kereta.Ini kerana kami memikirkan kos perbelanjaan di Kuala Lumpur nanti akan menipiskan poket kami.Di pertengahan perjalanan, perut mulai lapar dan saya telah mula memakan kacang, jadi kulit kacang yang saya makan ini telah saya kumpulkan di dalam tisu kerana tidak mahu mengotorkan dalam kereta dan alam sekitar dengan harapan saya akan berjumpa dengan tong sampah di R&R dan membuangnya ke situ.

Saya telah diketawakan oleh kawan-kawan saya yang lain kerana dikatakan terlalu ‘sivik maut’.Kawan-kawan yang lain begitu berbangga makan bersama kacang itu dan membuang kulit kacang ke lebuhraya dengan penuh rasa bangga sambil menyanyikan lagu ‘Proud To Be Malaysian’ nyanyian kugiran The Offical.

Jadi berbalik ke pohon beringin, saya mulai sedar bahawa warga kita sememangnya tidak tahu bagaimana menjaga alam sekitar ini dengan baik sekali.Mereka tidak sedar bahawa inilah anugerah dari tuhan yang sangat indah yang dimiliki oleh hambanya secara percuma.Tiba-tiba saya tergelak besar kerana teringatkan kisah sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2007 dimana ada pihak yang membina tandas elektronik untuk warga kita gunakan.Tidak semena-mena saya terbarai ketawa kerana memikirkan bagaimanakah warga kita akan menggunakan tandas elektronik itu nanti sedangkan membuang sampah ke dalam tong pun mereka tidak tahu.Si buah hati saya juga turut tersenyum seakan tahu apa yang saya fikirkan.Dia kelihatan sangat manis tersenyum kerana dia tahu saya pandai menjaganya.

Monday, April 2, 2007

Cerita Melayu dan Hari Jumaat

Seperti Umat Islam yang lain, setiap hari jumaat saya akan ke masjid untuk menunaikan solat jumaat.Tetapi setiap kali saya ke masjid, saya mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan warga yang bernama melayu.

Dalam seumur hayat , saya belum pernah melintasi Jalan Sutera, Cairo, Bangalore, Nairobi di Kenya mahupun Masjidil Haram untuk melihat Orang Islam di negara lain bersembahyang jumaat.Tetapi di negara ini telah banyak tempat yang sempat saya jelajahi.

Pada hemat saya ada sesuatu yang pelik di dalam upacara sembahyang ini setiap kali jumaat menjelang tiba.Maksud kepelikan saya disini ialah gangguan bunyi bising ketika khutbah sedang dibacakan.Bunyi ini kedengaran begitu kuat malahan lebih kuat dari suara khatib yang sedang asyik membaca khutbah.

Saya pasti tak akan menghiraukan jika suara itu semerdu suara Siti Sarah Raisudin Hamzah yang selalu saya dendangkan lagunya di kala malam hampir menutup layarnya.Tetapi kebisingan ini jelas sekali meghilangkan fokus saya untuk mendengar khutbah percuma dari si khatib yang bertugas.

Sebenarnya bunyi bising ini datangnya dari kanak kanak yang saya tidaklah berapa pasti statusnya sama ada sudah baligh atau pun belum.Tetapi yang pasti setiap kali jumaat mereka ini akan datang ke masjid semacam ingin merayakan zaman kanak-kanak mereka .Bagi saya sifat kanak-kanak ini adalah sangat tidak bertanggungjawab. Kebisingan ciptaan kanak-kanak ini hampir pasti mengalahkan kebisingan pasar malam di Taman Senai Utama.

Tetapi yang lebih memelikkan keadaan ini, para petugas masjid seperti tidak pernah ambil peduli tentang kerunsingan saya.Malahan jemaah lain menggambarkan mereka jua turut sama lali dengan kebisingan itu.Saya begitu hairan kerana petugas masjid ini langsung tidak menunjukkan sifat peka dan peduli tetapi hanya sebagai orang pekak yang tuli.

Jadi setiap minggu pada hari jumaat saya datang ke masjid fokus saya semakin lama semakin berubah iaitu bukanlah hendak sangat mendengar apa yang dikhutbahkan oleh si khatib tetapi lebih ingin memikirkan bagaimana menyelesaikan gelagat kanak-kanak yang “tak reti bahasa” ini.

Pada hemat saya seharusnya ibubapa kepada kanak-kanak yang “tak reti bahasa” ini berfikir panjang samada ingin membawa bersama anak-anak ini pergi menghadiri upacara atau melarang sama sekali.Jika ianya hanya mendatangkan kesulitan bagi pihak lain adalah lebih baik kanak-kanak ini dibuaikan saja di dalam buaian di rumah.

Adakalanya saya juga terfikir adakah ibubapa kepada kanak-kanak ini juga 2x5 “tak reti bahasa” kerana membiarkan anak mereka membuat onar di dalam masjid? Pepatah melayu ada menyebut bapa borek anak rintik tetapi ini telah terbalik.Pada saya pepatah ini telah bertukar rupa bentuk dan pengertian kepada anak borek bapak rintik.Ini kerana bapa juga mengikut perangai anak mereka yang “tak reti bahasa”.

Seperkara lagi yang telah berjaya menghilangkan fokus saya mendengar khutbah ialah si khatib yang berkhutbah.Saya merasakan si khatib yang dipilih untuk berkhutbah ini perlulah lebih selektif, ini adalah kerana suara mereka ini tidaklah sehebat Jamal Abdillah, maka khutbah mereka tidaklah dapat menarik minat jemaah yang datang untuk mendengar sebaliknya mereka lebih memilih jalan untuk tidur sahaja.

Untuk menjadi khatib, tidaklah perlu suara seperti Si Jamal Abdillah itu tetapi janganlah seperti orang yang sedang nazak ingin bercerita kepada cucunya berkenaan Sang Kancil dengan Buaya.Suara si khatib kadangkala lebih teruk dari bunyi si Mamat yang tidur berdengkur itu.Si khatib ini perlu dihantar untuk berguru dengan Bentara Guru untuk membetulkan ‘picthing’ suara mereka agar lebih menarik perhatian jemaah mendengar dari terus berdengkur tidur.Mungkin juga si mamat yang berdengkur tidur ini lebih dulu menemui jalan ke syurga berbanding si khatib yang sedang berkhutbah tidaklah dapat saya ketahui.

Lebih malang lagi, saya pernah terserempak dengan warga luar yang bersembahyang bersama.Warga ini tertarik mungkin dengan slogan Tahun Melawat Malaysia 2007 jadi dikesempatan ini mereka juga ingin merasakan bagaimanakah bersembahyang jumaat di Malaysia.Apakah persepsi warga luar ini apabila melihat senario ini berlaku di dalam masyarakat melayu kita?

Jika perkara ini tidak diperbetulkan, senario ini pastinya berterusan lagi sehingga puluhan tahun mendatang walaupun kita dikatakan merdeka 50 tahun sekalipun.
Akhirnya saya telah mengambil keputusan tidak akan sesekali pergi kearah kanak-kanak ini dan menjerit kepada mereka untuk diam kerana ianya adalah satu tindakan yang sia-sia sahaja.Bagaikan menyembur nyamuk dengan ricset di dalam hutan.Pastinya, saya akan ke masjid lagi jumaat ini tetapi bukan untuk menyembur nyamuk dengan ricset.