Wednesday, May 14, 2008

Bahasa Yang Membawa Malapetaka

Ketika Kerajaan Malaysia mengumumkan pembelajaran sains dan matematik ke dalam Bahasa Inggeris ramai diantara kita yang tidak bersetuju.Cikgu-cikgi, pensyarah, pembangkang, tukang kebun, Pengawal Keselamatan Zoo Negara, Makcik Peniaga Bazar Ramadhan malahan kebanyakan rakyat tidak bersetuju dengan dasar baru yang diperkenalkan.Ramai diantara warga kita yang menentang perlaksanaannya.

Antara alasan yang diberikan ialah penggunaan Bahasa Inggeris di dalam pembelajaran matematik dan sains tidak akan memartabatkan Bahasa Melayu secara total di muka bumi kepunyaan Orang Melayu, malahan ini akan menghilangkan rasa hormat terhadap Bahasa Melayu itu sendiri.Ada juga yang berpendirian penghapusan penggunaan bahasa melayu ini akan membantutkan usaha menjadikan Bahasa Melayu ini bahasa ilmuan sebagaimana keagungan di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.Bahasa Melayu ketika itu dikenali sebagai Lingua Franca.

Hahahaha, sungguh ramai diantara kita yang cuba menjadi hero dan heroin bahasa ketika isu ini sibuk diperbahaskan.Tetapi tidak mengapalah, saya tidak mempunyai masalah dengan perkara itu.Itu adalah hak mereka untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mengenai dasar yang ditetapkan di dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Jika ditanya pada saya, saya juga tidak bersetuju penggunaan sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris.Saya tidak bersetuju bukanlah kerana saya bimbang slip gaji saya akan ditulis dalam Bahasa Inggeris atau saya bimbang semua papan tanda di Hulu Kelang akan bertukar di dalam Bahasa Inggeris, kemudian saya perlu mencari kamus untuk memahami butir ayat yang tertera di situ.Saya tidak bimbang soal itu.

Saya juga tidak peduli untuk menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai lingua franca atau martabat bahasa itu diangkat dan dijulang sama tinggi dengan kapal terbang Air Asia.Saya memang tidak peduli.Itu bukanlah menjadi agenda utama saya kerana sejak diperkenalkan penggunaan sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris manusia Melayu telahpun selamat sampai ke angkasa.

Kepedulian saya hanya kepada nasib dan masa depan bangsa bukan sahaja Melayu, Cina dan India tetapi termasuk kaum peribumi Sabah dan Sarawak.Kekhuatiran saya adalah mengenai nasib pelajar-pelajar yang tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris cenderung untuk gagal di dalam semua matapelajaran yang melibatkan Bahasa Inggeris

Pada hemat saya kekhuatiran tentang kemungkinan kegagalan ini adalah satu yang sangat munasabah kerana pelajar terutama di pedalaman kebanyakannya sukar menguasai matapelajaran Bahasa Inggeris.Jadi subjek Bahasa Inggeris mereka selalunya mengundang malapetaka.Jika penggunaan Bahasa Inggeris ini menular ke dalam subjek-subjek yang lain maka hasilnya subjek-subjek yang lain juga akan mengundang malapetaka yang amat dasyat.

Cuba kita bayangkan.Jika belajar di dalam Bahasa Melayu pun masih ada yang ketinggalan inikan pula di dalam Bahasa Inggeris.Malapetaka inilah yang menjadi igauan ngeri kepada pelajar-pelajar.

Saya masih mempunyai adik-adik yang masih bersekolah.Saya melihat mereka tunggang terbalik menelaah pelajaran tetapi tidak pula mereka kelihatan lebih cerdik dari biasa apabila menggunakan Bahasa Inggeris di dalam matematik dan sains ini.

Mari kita menerobos sedikit.Kini semakin banyak penggunaan Bahasa Melayu terhakis.Setelah Bahasa Inggeris digunakan dalam pembelajaran sains dan matematik yang mengundang malapetaka diperkatakan, tiba masanya kereta nasional pula yg diinggeriskan.Bermula dengan Saga, Wira, Satria, Perdana, Putra kini setiap keluaran baru tidak lagi menggunakan Bahasa Melayu sebagai nama.Kemungkinan juga kerana sudah terlalu banyak perkataan ini diletakkan sebagai nama kereta akhirnya Bahasa Melayu telahpun habis.Maka timbullah Savvy dan Neo.Begitu juga dengan sebuah lagi keluaran nasional walaupun statusnya tidak lah saya ketahui tahap kenasionalannya.Bermula dengan Kancil, Kembara, Rusa.Akhirnya nama yang pelik telah pun timbul seperti Myvi ,Viva dan terbaru Nautica.Penularan malapetaka ini semakin ketara mencapai kemuncak dengan Bank Pertanian sudah berubah wajah menjadi Agro Bank.Tujuan dan natijahnya tidaklah saya ketahui dan apakah malapetaka yang akan datang selanjutnya juga tidaklah saya ketahui.Mungkin ini adalah salah satu dari proses yang dipanggil modenisasi.

Saya juga telah mengambil keputusan untuk menyertai proses modenisasi ini.Saya mengimpikan Jabatan Pendaftaran Negara mengizinkan saya menukarkan nama saya kepada John Johny Jonathan.Semoga dengan nama baru ini, saya tidak mengundang lagi malapetaka.

Thursday, November 8, 2007

Insan Kamil Yang Didiskriminasikan


Baru-baru ini saya telah menerima email dari seorang kawan yang menceritakan mengenai kebiadaban seorang cina yang memakai baju yang menghina kepercayaan dan pegangan orang melayu.Kejadian ini berlaku di sebuah pasaraya dimana orang melayu ini adalah pekerja disitu.Melalui email ini dinyatakan bahawa orang melayu yang menegur perbuatan cina ini akhirnya di buang kerja di atas alasan tidak menjaga kepentingan perniagaan untuk mempertahankan pegangan yang dianutinya.Email ini telah disebarkan kepada saya dan juga manusia lain.

Jauh disudut hati kecil saya langsung tidak mempercayai cerita ini.Bagi saya cerita ini hanyalah satu cerita haprak lagi kurafat yang dicipta untuk menimbulkan satu keadaan tidak selamat diantara kaum di negara ini.Cerita ini ingin menyuntik semangat nasionalisme perkauman yang menebal.Tahukan kita mengapakah perkara ini terjadi?

Pada hemat saya setiap perkara yang berlaku mempunyai sebab musabab samalah seperti kisah bagaimana Kassim Selamat membutakan matanya dengan garpu.Sebab utama Kassim Selamat membutakan matanya adalah kerana tidak tahan lagi memandang kebejatan dan penipuan yang berlaku di hadapan matanya yang dilakukan oleh ibu mertuanya ya! Ibu mertuanya.Untuk pengetahuan, saya belum mempunyai ibu mertua.Jadi kejadian penyebaran email ini juga ada sebab musababnya.

Saya merasakan sebab utama penyebaran email ini adalah kerana rasa ketidakpuasan hati muncul dalam diri setiap kaum apabila mereka tidak dilayan dengan adil dan sama rata.Negara kita adalah sebuah negara demokrasi yang mempunyai pelbagai kaum yang hidup aman dan damai.Sejak dari kecil lagi pemikiran saya telah diracun dengan negara ini adalah sebuah negara yang aman dengan penduduk pelbagai kaum.Apa nak diherankan dengan pelbagai kaum ini kerana kebanyakan negara lain juga mempunyai pelbagai kaum.Adakah penduduk di Uganda tidak pernah menerima kedatangan para tetamu dari Zimbabwe atau negara Perancis tidak mempunyai penduduk berketurunan Algeria?

Saya ingin bersurah mengenai pengalaman saya.Suatu ketika dahulu, saya pernah bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa.Agak lama juga saya menghambakan diri di syarikat itu.Pada suatu hari ketika menjalankan tugas harian saya telah menerima email dari pengurusan tertinggi yang mengatakan saya telah diarahkan untuk mengikuti Kursus Bomba dan Menyelamat.Kursus ini perlu dihadiri selama tiga hari dan dikelolakan oleh Jabatan Bomba.

Ketika itu saya masih menjadi seorang insan kamil yang memegang prinsip “saya yang menurut perintah”.Jadi dengan penuh kezuhudan tanpa banyak bicara bersetuju untuk menyertai kursus itu.Syarikat ini sebenarnya mempunyai pekerja dari pelbagai kaum sama sahaja sifatnya seperti negara saya yang tercinta.Apabila tiba sesi pertama kursus itu saya sangat terkejut kerana yang menyertai kursus itu hanyalah terdiri daripada Kaum Melayu dan India sahaja sedangkan orang yang bertanggungjawab dalam mengendalikan kursus ini adalah berbangsa Cina dan ramai bangsa Cina juga bekerja di syarikat itu.Saya tertanya sendirian, mengapakah tiada bangsa Cina yang menyertai kami di bawah panas terik mentari untuk mempelajari cara untuk menyelamatkan manusia lain? Saya tertanya-tanya adakah tujuan saya dilahirkan untuk menyelamatkan bangsa Cina dari hangus terbakar? Saya juga hairan sejak bilakah bangsa cina ini mendapat status peribumi di dalam syarikat itu? Persoalan ini terus menghantui saya.Di dalam kursus itu saya telah mempelajari selok belok bagaimana menyelamatkan manusia yang berada di dalam bangunan.Ketika akhir sesi kursus ini kami telah membuat satu demonstrasi bagaimana untuk memadamkan kebakaran tetapi saya tidak mencubanya.Saya tidak mencuba memadamkan kebakaran kerana ketika setelah seorang peserta yang membuat demo ini berjaya memadamkan kebakaran, bangsa cina yang memerhatikan dari tepi menepuk tangan dengan begitu kuat menandakan mereka sangat senang hati dengan keupayaan kami memadamkan kebakaran dan mereka sangka kamilah orang yang dilahirkan di dunia yang fana ini yang akan menyelamatkan mereka ketika kebakaran muncul.

Jangan haraplah, saya momohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki kepada mereka kerana saya tidak akan menyelamatkan mereka kerana jelas disini telah berlakunya diskriminasi perkauman yang nyata.Adakah saya tidak berperi kemanusiaan? Ya, saya tidak mempunyai nilai kemanusiaan terhadap manusia yang tidak menghormati martabat insaniah.Jika saya ditanya adakah saya ingin memberi bantuan pernafasan dari mulut ke mulut jika Presiden Bush ditemui lemas di Tasik Superior di sempadan Canada? Jawapan saya ialah tidak sama sekali.Mungkin saya akan berlakon menjadi buta seperti Kassim Selamat untuk mengelakkan dari menyelamatkan Encik Bush.

Ada satu lagi kisah yang terjadi ketika saya masih lagi bekerja di syarikat itu.Setelah saya menilai amalan diskriminasi dan ketidakadilan ini berlaku, saya memutuskan untuk mencari pekerjaan di tempat yang boleh menjamin tiada amalan diskriminasi terhadap saya, bangsa saya dan apa jua bangsa yang ada di negara saya yang tercinta.Jadi saya membuat keputusan untuk mendaftar dengan sebuah ejen mencari pekerjaan.Ejen ini akan menghantar email kepada saya untuk memberitahu syarikat manakah yang mempunyai kekosongan jawatan.Hampir setiap hari saya mendapat maklumat.Tetapi apa yang saya jumpai adalah perkara yang sama iaitu diskriminasi perkauman yang cukup nyata di dalam negara ini yang dikatakan aman damai cemerlang gemilang dan terbilang.Kebanyakan dari kekosongan jawatan yang perlu diisi ialah yang memerlukan seseorang calon itu fasih di dalam bahasa Mandarin.

Di dalam kehairanan, saya telah ketawa berdekah-dekah.Adakah ini salah satu lawak Pua Chu Kang yang diimport dari Singapura? Saya telah menjadi hairan, adakah kini saya berada di Hong Kong ataupun Ibu Negeri Taiwan? Adakah kini kampung halaman saya telah bertukar rupa bentuk menjadi bangunan-bangunan di Guangzhou? Bilakah tarikh Menteri Pelajaran Malaysia mewajibkan bahasa mandarin diajar secara formal di sekolah saya? Adakah saya telah tertidur ketika pengumuman Sains dan Matematik perlu diajar di dalam bahasa mandarin? Adakah nama saya sudah ditukar ejaannya kepada Chin Peng? Sejak bilakah pihak-pihak ini memiliknegarakan syarikat-syarikat untuk membentuk dasar kepada sesebuah kerajaan.Pertanyaan ini sesungguhnya berjaya membuatkan saya berada di persimpangan dilema.

Saya mulai terfikir adakah kerana negeri China ketika ini muncul sebagai gergasi ekonomi menyebabkan seluruh warga negara saya perlu fasih berbahasa mandarin untuk mendapat pekerjaan.Keadaan negeri China ketika ini sama sahaja dengan India yang menjadi gergasi ekonomi baru di dunia.Jadi mengapakah saya tidak menjumpai kewajiban untuk fasih di dalam bahasa Hindustan untuk mencari pekerjaan di Malaysia? Poodah!!

Kejadian-kejadian ini menunjukkan isyarat bahawa kita sedang mengalami krisis.Krisis dimana kita sebagai warga telah didiskriminasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.Krisis dimana satu strategi busuk bagi sesetengah individu atau organisasi yang berfikiran sempit untuk menidakkan anak bangsa saya untuk sama-sama merebut peluang pekerjaan.

Negara kita tanggungjawab kita.Sebagai warga yang bertanggungjawab saya menolak keras perlakuan diskriminasi ini.Saya menyeru kepada semua warga kita agar jangan terperangkap dengan propaganda diskriminasi kaum ini.Diskriminasi ini haruslah ditentang habis-habisan dan pihak yang menganjurkan diskriminasi ini perlu kita bakulsampahkan dengan kadar yang segera.Tetapi kita juga masih bernasib baik kerana untuk menjadi angkasawan belum ada ditetapkan syarat perlu fasih berbahasa mandarin.

Saya tidak akan membutakan mata seperti Kassim Selamat untuk menghalang kebejatan ini dan saya juga tidak akan belajar bahasa mandarin untuk menuju jalan ke angkasa.Saya mengulangi yang saya tidak mempunyai sentimen terhadap bangsa-bangsa yang wujud di dunia ini tetapi tidak untuk diskriminasi perkauman.

Tuesday, October 30, 2007

Skim Cepat Kaya


Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua terutama buah hati saya yang jauh dimata.Sekarang ini saya telah menjadi seorang warga yang telah pokai.Duit saya telah berkurangan dengan kadar yang banyak kerana disedekahkan kepada kanak-kanak.Saya menjadi begitu pemurah ketika tibanya Syawal Bukan itu sahaja saya juga perlu menunaikan tanggungjawab untuk menukar langsir baru, membayar cukai jalan, menggantikan cermin kereta yang pecah dan akhirnya tayar kereta saya juga telah sampai ajal menjelang hari raya.Saya menjadi sangat sedih bukan kerana ajal tayar kereta telah sampai tetapi kerana duit saya yang menemui ajalnya.Akibatnya duit yang saya kumpul untuk berjumpa dengan buah hati saya telah terjejas.Mungkin selepas ini saya perlu mengikat perut menggunakan tali tangsi.

Ketika Syawal tiba, saya telah didatangi oleh seorang kawan.Kedatangannya bukanlah dijemput walaupun sekarang ini saya sedang merayakan zaman kemudaan saya di hari raya yang mulia.Kedatangan kawan saya ini juga bukanlah untuk sama-sama makan lemang dengan rendang.Tetapi untuk mengajak saya sama-sama menyertai Skim Cepat Kaya.

Saya menjadi begitu teruja.Melalui cerita kawan saya ini, Skim Ini akan menjamin masa depan yang cemerlang gemilang dan terbilang.Bayangkan jika saya melabur RM20,000 saya akan mendapat 10% daripada wang pelaburan setiap bulan selama 5 tahun.Wang saya akan berganda-ganda dan saya akan menjadi warga yang kaya raya.Selepas 5 tahun wang yang akan saya perolehi sebanyak RM120,000.Ya kaya raya, kaya di hari raya tidak seperti sekarang saya pokai di hari raya.Ini pastinya akan memudahkan tugas saya untuk menyunting bunga di taman.

Kawan saya ini telah menceritakan bagaimana mertuanya telah menjadi kaya raya dengan sekelip mata apabila menyertai skim ini dan mendapat sebuah kereta yang sangat mahal harganya lebih mahal dari kereta yang saya miliki.

Sebelum ini saya telah banyak berfikir untuk hidup senang.Tetapi saya tidak menjumpai jalan mudah.Tiada jalan mudah untuk hidup senang.Di dalam sistem ekonomi kapitalis warga yang kaya akan bertambah kaya, warga yang miskin akan hidup papa kedana.Saya telah memikirkan mengenai telahan saya ini dan ianya ternyata tepat sekali.

Mari kita lihat di dalam sistem perbankan.Jika anda ingin membuat pinjaman kewangan anda perlulah mempunyai slip gaji yang telah ditetapkan amaunnya atau anda perlulah membuat cagaran harta benda yang anda miliki.Tetapi jika anda hanya memiliki seekor itik serati dengan serta merta permohonan anda untuk membuat pinjaman wang akan ditolak hidup-hidup.

Fikirkan seorang warga yang papa kedana ingin memulakan perniagaan, adakah warga ini mempunyai slip gaji yang cukup amaunnya? Adakah warga ini mempunyai hartanah yang cukup untuk digadaikan? Jawapannya tidak.Tiada ruang warga yang miskin untuk meminjamkan wang dari sistem perbankan.Inilah yang bermaksud yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana.Inilah telahan saya mengenai sistem ekonomi kapitalis.

Saya masih beruntung kerana tidak berstatus papa kedana tetapi hanya bertaraf pokai sahaja.Tahap pokai ini sebenarnya adalah lebih mulia martabatnya berbanding papa kedana.Jika anda tidak percaya, anda boleh mencuba dari sekarang untuk menjadi papa kedana.

Ayah saya pernah menceritakan dimana dia telah mendapat satu surat yang menyatakan dia telah memenangi sebuah kereta dan boleh mengambil kereta tersebut dengan kadar yang segera di suatu tempat.Melalui penceritaannya, dia teragak-agak untuk mempercayai surat itu.Tetapi setelah memikirkan hadiah yang ditawarkan itu sangat lumayan iaitu sebuah kereta yang harganya lebih mahal dari kereta saya, dia telah membuat keputusan untuk membuat tuntutan.Ayah saya telah terkejut kerana mendapati segala telahannya jauh tersasar.Pejabat pihak yang ingin memberi hadiah yang lumayan itu hanyalah terdiri dari himpunan meja-meja plastik yang diatasnya tersusun rapi cawan-cawan di bawah pohon beringin di tepi jalan

Apabila sampai sahaja pihak tersebut telah mengucapkan tahniah kepada ayah saya bagaikan ayah sayalah orang pertama yang akan memandu kereta mewah itu ke pusat angkasa lepas.Sebelum pihak terbabit memberikan hadiah tersebut, mereka telah menetapkan syarat dimana ayah saya perlu memasukkan deposit sebanyak 10% dari harga kereta tersebut.Jika tidak ayah saya hanya memenangi sebuah cawan yang berjenama Colgate.

Rakan saya juga pernah menerima khidmat pesanan ringkas.Pesanan itu mengucapkan tahniah dan mengatakan bahawa dia telah memenangi beribu ringgit dan perlulah memasukkan deposit dahulu ke dalam akaun yang telah ditetapkan oleh pihak tersebut.

Apa kaitan diantara skim cepat kaya dengan hadiah kereta yang pernah ditawarkan kepada ayah saya.Perkaitannya adalah sama, kedua-duanya menjanjikan hadiah yang lumayan dengan kadar yang segera dan kedua-duanya memerlukan kita melabur sejumlah wang untuk mendapatkan pulangan yang belum tentu kepastiannya.

Lihat betapa liciknya gerakan skim cepat kaya ini memperdayakan warga kita.Kini saya didatangi oleh seorang kawan.Saya bukan tidak mempercayai kawan saya ini tetapi saya tidak mempercayai skim cepat kaya yang ada di dalam dunia ini.Cuba bayangkan hanya untuk membuang air sahaja saya telah dijerut di bahagian leher dengan bayaran meningkat dari 20sen kepada 30sen.Mana mungkin mencari pihak yang ingin memberi kekayaan kepada saya dalam kadar yang segera.Mana mungkin saya dapat mencari insan kamil yang ikhlas untuk memperkayakan diri saya.Di kesempatan ini saya menyeru semua warga yang bertanggungjawab untuk sama-sama tidak mempercayai kepercayaan khurafat yang dibawa oleh kutu-kutu berahak ini.

Monday, October 22, 2007

Cerita Tentang Orang Dari Seberang


Saya tidak ingin menjadi penyanyi.Saya mengulangi sekali lagi bahawa saya tidak ingin menjadi penyanyi untuk membanteras rasuah.Walaupun ditawarkan oleh Man Kidal atau Fauzi Marzuki.Mengapakah saya cuba mengelak daripada menjadi penyanyi? Cukuplah saya hanya menjadi penyanyi karaoke jamban sahaja.Ia sudah mencukupi.Walaupun saya tahu menjadi penyanyi karaoke jamban juga tidak akan membantu membanteras rasuah.Saya tidak akan menjadi penyanyi bukan kerana suara saya tidak semerdu Jamal Abdillah tetapi kerana banyak bencana telah berlaku ke atas penyanyi.Ianya mungkin akan menyebabkan bonda saya cepat mendapat penyakit jantung.

Saya tidak membaca majalah URtv atau URradio tetapi hanya membaca surat khabar sahaja.Kebelakangan ini saya telah membaca kisah dari para penyanyi kita.Mereka telah pun mengeluarkan suara menyuarakan rasa ketidakpuasahan hati terhadap industri nyanyian.Sama seperti saya menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap rasuah yang merebak di dalam negara.

Penyanyi di Malaysia kini menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap dua perkara yang berkaitan dengan sebuah negara.Pertama mereka tidak berpuashati dengan tindakan radio-radio di Malaysia yang selalu memutarkan lagu-lagu penyanyi Indonesia, saya ulang Indonesia.Kedua, mereka tidak berpuashati dengan promoter-promoter yang banyak memberikan peluang kepada penyanyi Indonesia masuk ke pasaran Malaysia.Kata mereka dengan kedatangan warga Indonesia ini telah menyekat periuk nasi mereka.

Saya berasa sungguh kasihan terhadap negara jiran ini iaitu Indonesia.Indonesia ini adalah sebuah negara yang serumpun yang datang dari susur galur melayu yang sama, yang sama seperti kita bezanya mereka adalah sebuah negara miskin ya lebih miskin dari kita.Kita selalu menjadikan Indonesia sebagai ancaman yang sangat berbahaya. Terutamanya pendatang Indonesia yang datang ke sini samaada secara halal atau tidak halal.Mereka selalu digambarkan sebagai penjahat dan pengancam keselamatan.

Kedatangan mereka kesini adalah untuk mencari rezeki kerana di negara mereka kurang peluang pekerjaan berbanding dengan negara kita.Mereka datang dari keluarga yang miskin dan sangat miskin.Dari mana saya mendapat maklumat ini? Saya mempunyai pengalaman bekerja dengan beratus-ratus pendatang dari negara asing Indonesia, Vietnam, India mahupun Bangladesh.. Mereka datang ke sini bergolok bergadai.Ada yang menjual lembu, kambing, tanah malahan anak itik serati sekalipun akan dilelong untuk mencari makan disini.

Apabila sampai di Malaysia ada diantara mereka yang menjadi pencuri, perompak, perampok tetapi kita jangan lupa ada ramai juga yang baik-baik.Malangnya kita telah menjadikan mereka ini sebagai ancaman yang sangat dasyat.Lebih dasyat dari penyangak yang menyangak berjuta-juta duit rakyat negara ini.

Kini tiba pula masanya kita menjadikan penyanyi Indonesia yang kedatangannya secara sah dan halal untuk mencari rezeki di Malaysia sebagai ancaman.Penyanyi kita telah mengamuk dan menibai beberapa pihak kerana telah memberi laluan kepada penyanyi Indonesia mendominasi pasaran tempatan.Habis sumpah seranah dihamburkan.Ianya berpunca daripada tanggapan bahawa peminat muzik kini lebih menyukai penyanyi Indonesia berbanding Malaysia.Jika penyanyi Indonesia mengadakan konsert ramai yang akan hadir.Jika mereka keluarkan album baru album mereka akan laku.Dengan fenomena ini stesen radio banyak menyiarkan lagu-lagu penyanyi seberang.Indonesia sekali lagi mengancam kedamaian kita di bumi bertuah. Sebagai balasannya kita perlu menyekat kemasukan lagu mahupun artis Indonesia ke Malaysia. Malang sungguh nasibmu wahai Indonesia.Sudahlah semua malapetaka bertandang di negara sendiri, hendak menumpang tuah di bumi bertuah kepunyaan saudara sendiri pun warga Indonesia ini telah disumpah seranah.

Nanti dulu, kepada penggiat muzik Malaysia saya mencadangkan agar berfikirlah secara rasional sedikit.Kita perlulah menerima hakikat bahawa muzik kita telah tidak mendapat tempat lagi di kalangan peminat muzik tempatan.Adakah dengan menyekat kedatangan karya-karya dari Indonesia ini akan menyebabkan muzik kita menjadi maju seratus tahun ke hadapan? Adakah dengan menyekat karya-karya Indonesia ini jualan album penyanyi kita dapat mengalahkan Boney M? Cet!!Jangan mimpilah.

Sebenarnya muzik juga adalah satu industri yang terbentuk berasaskan ekonomi.Ekonomi ini dalam bahasa mudahnya ialah satu aktiviti yang dilakukan untuk mendapatkan hasil atau keuntungan.Jadi setiap produk yang dikeluarkan adalah berdasarkan permintaan.Jika tiada permintaan maka sia-sialah sahaja produk yang dikeluarkan itu.Jadi produk yang dapat menawarkan kelebihan akan dibeli oleh pengguna.Setiap produk yang dikeluarkan akan bersaing dengan produk yang berada dalam kelas yang sama untuk memenangi hati pengguna.Jadi dalam indutri muzik tempatan kini telah wujudnya persaingan di antara kita dan Indonesia.Kita telah kalah dalam persaingan ini kerana menawarkan muzik yang tidak memenangi hati peminat muzik.Cara mengatasi masalah ini begitu mudah.Haramkan sahaja muzik Indonesia.

Saya sebagai warga yang bertanggungjawab ingin mengajak penggiat seni agar mencari satu jalan penyelesaian yang waras.Jangan hanya tahu menibai situ sana sini sahaja.Pada hemat saya cara mengatasinya ialah bukan dengan cara menyekat rezeki orang lain.Jadilah warga yang lebih waras.Jadikan sahaja kita lebih kompetitif di dalam pasaran dengan meningkatkan kualiti muzik kita.

Saya tidak mempunyai sebarang sentimen terhadap Indonesia.Saya tidak mempunyai sebarang sentimen terhadap Bung Karno, Amien Rais, Joko Suprianto termasuklah Bunga Citra Lestari.Tetapi saya cukup sedar ancaman sebenar negara kita ialah rasuah yang dalam diam-diam sedang merompak wang saya.Inul Daratista tidak pernah merompak wang saya.Bukan Inul Daratista ya Inul Daratista!!!

Thursday, October 4, 2007

Kisah Hantu Purdah


Semasa saya masih bersekolah di peringkat menengah rendah saya telah menjadi seorang yang penakut.Sifat penakut yang terbentuk semasa itu bukanlah secara tiba-tiba ataupun anugerah dari ilahi tetapi ianya telah melalui proses-proses yang telah dirancang.Rancangan untuk menjadikan saya penakut ini adalah satu taktik kotor yang jahat kerana itu saya tiada sifat keberanian untuk menempuh pancaroba zaman kanak-kanak.

Ketika saya berumur tiga belas dan empat belas tahun iaitu di dalam tingkatan satu dan dua, saya hanya tinggal seorang diri di rumah.Ini adalah kerana saya bersekolah di waktu petang manakala ayahanda dan bonda saya telah keluar bekerja di waktu pagi juga dengan adik beradik yang lain mereka bersekolah di waktu pagi.

Saya telah merayakan keseronokan zaman kanak-kanak saya yang penuh warna-warni.Pagi-pagi lagi saya akan keluar ke rumah kawan-kawan untuk bermain dan merambu keliling taman.Keadaan di waktu pagi ketika itu sungguh sunyi kerana ramai penduduk di situ keluar bekerja.Paling tidak setiap pagi saya akan menunggu di dalam garaj rumah untuk menangkap surat khabar yang dicampak oleh Uncle Bala dengan motor Honda Cup C70 .Kemudian saya akan bersiap untuk ke sekolah dan ketika itulah bonda saya akan menelefon menanyakan keadaan saya telah selamat atau tidak.Semasa menunggu kedatangan bas sekolah itulah saya berpeluang menakut-nakutkan pelajar fardhu ain Tadika Abim yang lalu lalang jalan kecil sebelah rumah.Kanak-kanak itu berjaya saya takutkan.Bas yang saya naiki itu pula adalah bas dalam kategori zaman pra-sejarah yang sungguh hodoh rupa bentuknya, lahiriah dan batiniah.

Suatu ketika, kawasan perumahan saya yang aman damai itu telah di gemparkan dengan kedatangan hantu purdah yang berjantinakan perempuan dimana jika mengikut cerita ia bersama pemandunya menaiki Perodua Rusa berwarna merah akan berlegar-legar mencari mangsa.Apabila berjumpa dengan mangsa yang terdiri dari anak teruna dan gadis sunti, Si Hantu Purdah ini akan membuka purdah dan menunjukkan mukanya yang dipenuhi ulat dan akan menghisap darah mangsa dengan harapan mukanya akan kembali cantik sedia kala seperti Fasha Sanda.Cerita ini terus tersebar hingga ke merata tempat.

Makcik-makcik yang menjadi ahli mesyuarat longkang *ahli mesyuarat longkang merujuk kepada makcik yang akan bertenggek di tepi longkang untuk mengumpat sambil makan buah ceri dan boleh dijumpai dihadapan rumah saya sehingga kini* terus-terusan bercerita dan saya menjadi takut.Saya percaya jika saya ditangkap oleh Si Hantu Purdah ini pastinya makcik-makcik ahli mesyuarat longkang ini tidak akan membantu dan mempedulikan saya.Walhal saya hanya tinggal berseorangan di rumah..Lebih menakutkan lagi cerita yang telah sampai ke telinga saya bahawasanya Si Hantu Purdah ini boleh memasuki sesebuah rumah atau tempat hanya melalui lubang angin sahaja.Kerana katakutan saya telah cuba menutup segala lubang angin yang ada di dalam rumah menggunakan kain batik.Tetapi gagal kerana terlalu banyak lubang angin yang ada.Bonda saya tidak ambil peduli katanya ini hanyalah satu cerita dongeng.Dia telah bertanya kepada saya kenapa Si Hantu Purdah ini tidak ke Klinik Rosli yang berdekatan untuk merawat mukanya? Namun persoalan itu tidak dapat saya jawab yang saya tahu hanyalah ketakutan telah menular di dalam hidup saya.Rupa-rupanya bukan saya sahaja yang menjadi takut tetapi kesemua kanak-kanak yang lain turut ikut serta menyertai saya menjadi penakut.Maka dengan propaganda ini telah berjaya menakut-nakutkan kami dalam kategori kanak-kanak.Tiada lagi kedengaran kanak-kanak keluar malam atau keluar tanpa pengawasan ibu dan bapa kerana khuatir darah mereka akan dihisap oleh si Hantu Purdah yang mengamalkan susuk untuk kelihatan cantik.

Baru-baru ini apabila saya membaca akhbar saya telah terbaca mengenai seorang kanak-kanak yang telah hilang dan akhirnya dijumpai mati dibunuh dengan kejam.Pada mulanya kanak-kanak ini dipercayai telah pergi ke pasar malam seorang diri untuk membeli-belah.Tetapi akhirnya telah mati dibunuh.Saya turut sedih dan simpati dengan keluarga mangsa.Kesedihan saya ini bukanlah dibuat-buat tetapi datang dari hati yang ikhlas.Ini kerana saya pernah kematian kucing kesayangan dilanggar kereta, saya menjadi begitu sedih.Inikan pula seorang ayah kematian anak pastinya kesedihan itu beribu kali ganda.Saya pasti.

Begitu ramai orang menceritakan mengenai kematian kanak-kanak ini pernahkah kita terfikir mengapa kejadian ini berlaku? Adakah kerana Hantu Purdah sudah mati dan dengan kematian Hantu Purdah ini makan kanak-kanak zaman kini sudah berani keluar malam? Sebenarnya kes begini sudah banyak kali berlaku di dalam negara kita Cuma kita sahaja yang tidak mengambil iktibar dari kejadian-kejadian yang berlaku.Pada hemat saya kejadian ini berlaku adalah kerana kegagalan kita untuk memahami hukum alam dan kegagalan kita untuk mengawasi dan memahami tingkah-laku kanak-kanak.Kegagalan inilah yang menjadi penyebab terjadinya kejadian malapetaka ini.Berbagai reaksi saya dengar dimana mereka inginkan polis menangkap penjenayah secepat mungkin dan menghukum penjenayah.Apakah mereka fikir polis ini ingin menangkap pencuri kasut di masjid?

Apa yang perlu kita lakukan kini ialah bukan menangkap penjenayah tersebut, itu adalah kerja polis, yang perlu dilakukan dengan cepat oleh kita ialah meningkatkan pengawasan dan memahami terhadap tingkah-laku kanak-kanak ini.Saya pernah menjadi kanak-kanak dan saya tahu betapa sukarnya bonda saya menjaga, mengawal dan mengawasi saya.Tetapi adakah dengan kesukarannya itu menyebabkan kita akan terus membiarkan kanak-kanak ini menjadi mangsa?

Mari kita lihat sebentar, setiap tahun negara ini akan menghadapi banjir dan setiap kali banjir juga kanak-kanak akan mati lemas.Kanak-kanak yang mati lemas ini bukanlah mati kerana rumah mereka dinaiki air tetapi kerana mereka bermain air.Begitu juga dengan musim perayaan, setahun sekali kita akan menyambut hari raya, dan setiap kali itu juga kanak-kanak akan putus tangan, buta mati dan cedera teruk dibaham mercun.Saya melihat kita tidak pernah mengambil iktibar di atas setiap malapetaka yang berlaku tetapi menunggu saban tahun malapetaka itu datang menjemput kita.Jika tidak percaya, marilah kita melihat akhbar setiap hari mulai hari ini untuk melihat korban mercun ini.Saya pernah juga mendengar mengenai seorang kanak-kanak 3 tahun telah dilanggar oleh Mat Rempit kerana melintas jalan tidak memandang ke kiri-kanan-kiri.Di manakah pengawasan dari ibubapa mereka?

Baru-baru ini di waktu petang ketika menunggu waktu berbuka puasa saya telah tertidur, sebenarnya saya memang merancang untuk tidur dan memang tidurlah menjadi kerja sambilan saya.Sedang saya menikmati kerja sambilan itu, saya telah dikejutkan dengan jiran tetangga mengetuk rumah.Dia kelihatan sangat panik, saya fikir dia terkena renjatan elektrik.Rupa-rupanya dia hanya ingin memberitahu ada orang telah melanggar kereta saya.Saya yang masih terkebil-kebil terus bergegas turun kebawah dari tingkat empat.Apabila sampai kebawah saya melihat plat kereta hadapan telah ranap sama sekali dan beberapa kesan calar kelihatan di bahagian depan kereta.Beberapa ketika, seorang tua datang sambil ketawa dan memberitahu anaknya adalah insan yang bertanggungjawab melakukan kerja terkutuk itu.Tanpa pohonan maaf dia hanya ketawa dan memberitahu yang anaknya itu golongan istimewa atau dengan kata lain terencat akal berumur 9 tahun telah mengambil kunci kereta dan cuba memandu kereta tersebut.Dia berjanji akan menggantikan kembali plat kereta saya yang telah musnah.

Saya mula ragu-ragu mengenai cerita orang tua hangkoi ini, saya ragu-ragu samaada anaknya yang terencat akal atau akal orang tua hangkoi ini yang terencat.Dia hanya ketawa untuk menyembunyikan kegagalannya mengawasi seorang budak berusia 9 tahun.Dalam masa yang sama datang seorang pemandu van ambulan yang isterinya seorang cikgu cantik beranak dua memberitahu dia sudah lama ingin ‘pelangkong’ kepala orang tua hangkoi itu.Saya terkejut lalu dia menunjukkan motorsikal dia juga telah tertonggeng jatuh di langgar anaknya orang tua hangkoi tadi.Petang ini saya ingin menuntut ganti rugi kereta saya kepada orang tua hangkoi itu.Jika tidak saya pula yang akan melanggar plat keretanya sehingga musnah dengan alasan saya telah menjadi seorang yang terencat akal kerana berjangkit dengannya.

Melalui beberapa peristiwa yang berlaku ini iaitu selepas sebelas tahun berlalu barulah saya faham kenapa cerita Hantu Purdah mukanya berulat mencari mangsa dengan menghisap darah ini muncul.Cerita seram yang cuba memandulkan keberanian saya ini telah direkayasa oleh mereka yang telah gagal mengawasi anak-anak mereka dan mereka juga telah gagal memahami hukum alam.Mereka beranggapan dengan adanya cerita seram itu dapat mengurangkan tingkah-laku tidak terkawal anak-anak mereka.Di kesempatan bulan yang mulia ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hantu Purdah kerana telah berjaya menghalang saya dari pergi ke pasar malam seorang diri.Kini saya tidak lagi takutkan Hantu Purdah.

Jika ditanya mengenai harapan, ya saya mempunyai harapan untuk negara ini.Harapan untuk melihat negara saya aman damai seperti kawasan kediaman saya suatu ketika dulu.Al-Fatihah untuk si mati semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.Amin.

Tuesday, September 18, 2007

Bahasa Jiwa Bangsa


Baru-baru ini saya telah menonton satu anugerah muzik anjuran stesen radio swasta.Kononnya stesen ini adalah stesen nombor satu di Malaysia dan menjadi pilihan pendengar diseluruh pelusuk negara.Maka semasa rangka promosi, diadakan pertandingan dimana pemenang yang memenangi pertandingan akan berada di pentas hadapan menyaksikan anugerah gilang gemilang itu.Pemenang ini ditempatkan di dalam satu kawasan khas untuk mereka bersorak sorai menjerit dan terlolong apabila artis membuat persembahan.

Apabila melihat gelagat mereka ini saya terus terbayangkan monyet yang terkinja-kinja di dalam sangkar apabila melihat sesikat pisang yang berada di luar sangkar di Zoo Taman Teruntum.Saya hanya membayangkan sahaja bukan mengatakan mereka dari spesis itu.Mungkin melalui perlakuan inilah Darwin mengatakan manusia itu berasal dari beruk.Beruk dan monyet tiada banyak bezanya.

Tetapi saya bukan ingin bersurah mengenai Darwin, beruk atau monyet.Tetapi mengenai seorang Cina yang telah memporak-perandakan, merosakkan dan menjahanamkan bahasa ibunda saya.Lalu saya telah menjadi marah bukan kepalang.Kejelekan melihat manusia terkinja-kinja mengikut irama dan lagu semakin meluap-luap apabila si Cina ini merosakkan bahasa saya, Bahasa Ibunda saya.

Di dalam anugerah itu, Anugerah Artis Inggeris Tempatan Pilihan telah dimenangi oleh seorang Cina yang mahu dikenali sebagai Point Blanc dengan lagunya “Ipoh Mali”.Perkataan Ipoh Mali ini telah menyebabkan saya marah.Saya yakin perkataan ini sebenarnya adalah perkataan Ipoh Mari yang membawa pengertian datang dari Ipoh

Saya ingin bertanya kepada Pemuda Cina Point Blanc ini apakah motif sebenar dia mencinakan bahasa ibunda saya? Apakah haknya menukarkan struktur ayat ini dan apakah pangkatnya untuk menukarkan huruf R kepada L? Pencemaran bahasa ini seharusnya diambil berat oleh warga kita.Saya tidak pernah mencemarkan Bahasa Cina, Tamil mahupun bahasa lain di dunia ini, tetapi mengapa bahasa ibunda saya ini dijahanamkan oleh si keparat Point Blanc ini?

Lebih dramatik lagi apabila orang melayu yang terkinja-kinja di bawah tadi bertambah berahi untuk lebih terkinja-kinja lagi setelah mendengar nama Point Blanc ini memenangi anugerah itu.Apa ertinya kemerdekaan ini jika bahasa kita dijahanamkan dan kita turut sama merayakannya. Kalau duhulu cerita Pak Kadok “Menang sorak kampung tergadai” kini orang menang kita terkinja-kinja bahasa melayu jahanam kita turut meraikannya.Dimanakah hilangnya semangat nasionalisme?

Kepada Point Blanc jangan bimbang saya tidak akan merosakkan bahasa ibunda anda tetapi ingat "Kerana Pulut Santan Binasa Kerana Mulut Badan Binasa.Bahasa Jiwa Bangsa.”Do unto others as you would have others do unto you.Terima Kasih.

Selamat Menyambut Kemerdekaan yang ke **




Saya dengan sukacitanya ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan kepada seluruh warga Malaysia.Saya turut berbangga kerana kita telah berjaya membebaskan diri dari penjajah asing yang suatu ketika dulu datang ke Tanah Melayu ini untuk mengaut kekayaan negeri, merompak khazanah negara tetapi membiarkan rakyat pada ketika itu terus terusan melarat miskin papa kedana.Apa yang boleh diharapkan kepada penjajah keparat untuk membela untung nasib orang melayu hanyalah seperti baring diatas jalan sambil menunggu digelek oleh “Tandem Roller”. .”Negara Kaya tetapi Rakyat Papa Kedana”.

Saya tidak mempunyai minat lagi untuk menceritakan mengenai sejarah perjuangan tokoh-tokoh menuntut kemerdekaan kerana hampir kesemua kita amat mengetahuinya. Tetapi apa yang ingin saya surahkan disini ialah mengenai fakta dan angka.

PERSEKUTUAN TANAH MELAYU telah merdeka pada tahun 31 OGOS 1957, iaitu kemerdekaan yang hanya melibatkan Semenanjung Tanah Melayu sahaja.Tetapi kawasan-kawasan lain yang berada bersebelahan dengan Persekutuan Tanah Melayu masih belum merdeka dan masih dikuasai British.Bagi membebaskan rantau ini daripada penjajahan British dan pengaruh komunis satu cadangan telah dikemukakan untuk membentuk gagasan Persekutuan Malaysia iaitu cadangan penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei.Maka terbentuklah MALAYSIA gabungan diantara Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 SEPTEMBER 1963.

Persoalannya ialah sebetulnya pada tarikh manakah pengiraan kemerdekaan MALAYSIA ini sebenarnya bermula? 31 Ogos 1957 atau 16 September 1963?